
Boling merupakan salah satu sukan yang mendapat tempat dalam masyarakat di negara ini, dengan atlet tempatan terus mengharumkan nama Malaysia menerusi kejayaan di peringkat antarabangsa.
Kejayaan itu turut diraih oleh seorang pemuda yang membuktikan bahawa kejayaan di pentas antarabangsa memerlukan disiplin, konsistensi dan semangat juang tinggi.
Lahir daripada minat dan kesungguhan dalam sukan, atlet boling kebangsaan, Timmy Tan Chye Chern telah berkhidmat selama 14 tahun bersama skuad negara, sekali gus menjadikannya antara pemain berpengalaman dalam arena boling.
Sepanjang penglibatan, anak kelahiran Klang, Selangor itu mengukir pelbagai pencapaian membanggakan, termasuk kejayaan menduduki ranking nombor satu Asia pada 2019.
Katanya, pada tahun sama, dia turut dinobatkan sebagai Asia Player of the Year, pengiktirafan yang mencerminkan kecemerlangannya dalam sukan tersebut.
“Pencapaian itu menjadi antara bukti keupayaan saya bersaing dengan atlet-atlet terbaik di rantau ini.
“Perjalanan ini bukan mudah, ia hadir bersama kesungguhan, disiplin dan fokus untuk menjadi yang terbaik dalam bidang diceburi,” katanya ketika ditemu bual K-Variasi di The Mines, Seri Kembangan baru-baru ini.
Tambahnya, setiap kejayaan yang diraih, dia tidak pernah sekali mendongak ke langit, tetapi tetap menunduk ke bumi dan melatih diri untuk menjadi lebih baik.
Kejayaan Timmy bukan sekadar diukur menerusi pengiktirafan individu, malah terserlah melalui sumbangannya dalam acara berpasukan.
Timmy meraih pingat perak acara trio pada Sukan Asia 2018, selain dua pingat perak dalam acara trio dan berpasukan lima orang pada Sukan Asia 2014.
Dalam Kejohanan Boling Asia, dia turut mengumpul lima pingat emas sepanjang kariernya, termasuk kejayaan dalam acara perseorangan pada 2016 serta semua acara pada 2019.
Di pentas Sukan SEA pula, Timmy meraih pingat emas dalam acara perseorangan dan berpasukan lima orang pada 2019, selain kejayaan dalam acara trio serta berpasukan lima orang pada 2015.

Timmy juga membawa pulang pingat gangsa acara beregu pada temasya yang sama.
Deretan pencapaian itu memperlihatkan keupayaannya mengekalkan prestasi dalam pelbagai format pertandingan.
Antara kejayaan terbesarnya adalah muncul juara Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025.
Kejayaan tersebut melengkapkan perjalanan kompetitifnya dengan satu lagi pencapaian penting di peringkat dunia.
Sebelum itu, dia turut menduduki tempat ketiga dalam acara perseorangan Piala Dunia 2022, selain berada di tempat keempat dalam acara berpasukan lima orang.
Bagaimanapun, cita-cita Timmy tidak terhad kepada pencapaian di lorong boling semata-mata.
Menurutnya, dia mahu menggunakan kedudukannya sebagai atlet kebangsaan untuk mempromosikan sukan, menggalakkan perkembangan diri dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.
“Visi saya adalah untuk menjadi teladan serta sumber inspirasi kepada orang lain, di samping meninggalkan kesan positif yang berkekalan.
“Saya juga ingin berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam sukan boling kepada orang awam, khususnya generasi muda yang ingin menceburkan diri dalam sukan ini,” ujarnya.
Komitmen itu turut ditunjukkan menerusi penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan.
Timmy pernah menyertai program amal dan menyampaikan ceramah motivasi di sekolah serta sesi perkongsian pengalaman di institusi pendidikan.
Dia juga pernah menjadi duta Special Olympics Selangor sejak 2021, sekali gus memperlihatkan penglibatannya dalam usaha menyokong komuniti melalui sukan.
Perjalanan Timmy turut menggambarkan bahawa kejayaan seorang atlet bukan hanya terletak pada pingat dan gelaran, tetapi juga pada sumbangan serta pengaruh positif yang diberikan kepada masyarakat.
Dengan pengalaman lebih sedekad bersama skuad kebangsaan dan rekod pencapaian di peringkat Asia serta dunia, Timmy terus menjadi antara nama yang menyerlah dalam sukan boling negara.
The post Jaguh boling negara mahu berbakti pada masyarakat appeared first on Kosmo Online.






