
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak membenarkan kelompok ekstremis memainkan sentimen perkauman sehingga merosakkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama dibina negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kepelbagaian kaum dan budaya seharusnya diraikan sebagai kekuatan negara, bukannya dijadikan alasan untuk memecahbelahkan masyarakat.
Menurutnya, semangat itu perlu terus dipupuk khususnya sempena Bulan Kebangsaan dengan rakyat daripada pelbagai latar belakang melihat antara satu sama lain sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
“Kepelbagaian budaya dan kaum adalah kekuatan negara kita. Kita harus meraikan kepelbagaian sebagai satu keistimewaan, kelebihan dan kekuatan negara.
“Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan-Dusun dan Orang Asli adalah satu keluarga. Kita adalah sanak saudara,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara 2026-2035 di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur, hari ini.
Kor Ming berkata, semangat cintakan negara juga tidak boleh diterjemahkan sekadar dengan mengibarkan Jalur Gemilang ketika Bulan Kebangsaan.
Sebaliknya, katanya, patriotisme perlu dizahirkan dengan menjaga kestabilan negara, memupuk perpaduan nasional serta mempertahankan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Ketiga-tiga perkara ini merupakan kunci kejayaan negara kita. Sebab itu, kita jangan benarkan puak ekstremis cuba merosakkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama kita jalin bersama.
“Kita adalah sebuah keluarga anak Malaysia yang saling menghormati dan saling menyayangi,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming menyeru semangat kemalaysiaan dipupuk sepanjang masa dan bukan hanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya, usaha membina serta membangunkan negara bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan peranan setiap rakyat untuk memastikan Malaysia terus bergerak ke hadapan.
“Kita mempunyai satu impian, satu negara dan satu misi. Semangat kemalaysiaan itu wajib kita pupuk dan galakkan setiap hari,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan biar ekstremis rosakkan keharmonian kaum – Kor Ming appeared first on Kosmo Digital.






