Jangan buat spekulasi kematian guru, beri ruang polis siasat: Menteri

LocalHealth & Fitness
3 Aug 2026 • 6:29 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jangan buat spekulasi kematian guru, beri ruang polis siasat: Menteri

SHAH ALAM, 3 OGOS: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyeru semua pihak agar menghormati privasi keluarga dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang guru di Hulu Selangor baru-baru ini.

Beliau berkata orang ramai perlu memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara teliti bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Saya faham dan mengambil maklum kegusaran warga pendidik serta seluruh masyarakat tentang insiden yang melibatkan seorang guru di Selangor.

"Buat masa ini, saya merayu agar kita semua menghormati privasi keluarga dan mengelakkan sebarang spekulasi.

"Berilah ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara teliti agar punca sebenar insiden ini dapat dikenal pasti," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menggerakkan pelbagai usaha bagi memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap terbaik sepanjang siasatan dijalankan.

Menurutnya, isu kesihatan mental amat dekat di hatinya dan kementerian sentiasa memberi perhatian terhadap kesejahteraan mental warga pendidik.

Pada masa sama, beliau menggesa guru supaya saling mengambil berat terhadap rakan sekerja dengan meluangkan masa bertanya khabar dan mendengar keadaan mereka.

"Tolong bertanya khabar tentang rakan-rakan guru di sekeliling kita. Luangkan sedikit masa untuk mendengar, bertanya dan pastikan mereka benar-benar berada dalam keadaan baik.

"Kadangkala, satu pertanyaan yang ikhlas mampu memberi kekuatan yang sangat besar. Percayalah, KPM dan saya sendiri sebagai Menteri Pendidikan sangat mengambil berat tentang kesihatan mental semua warga," katanya.

Beliau turut menegaskan usaha memperkukuh sokongan kesihatan mental akan diteruskan bersama pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kaunselor.

"Buat semua cikgu yang saya sayangi, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. We love you (Kami sayang anda). We make doa for you (Kami doakan anda)," katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan seorang guru berusia lingkungan 30-an di sebuah sekolah di Hulu Selangor ditemukan meninggal dunia pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.15 pagi.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved