Jangan hilang aktivisme, terus ‘bisik’ isu rakyat – Fadhlina

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 1:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan hilang aktivisme, terus ‘bisik’ isu rakyat – Fadhlina

MELAKA: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu kembali menghidupkan budaya aktivisme dengan membawa isu-isu berkepentingan rakyat hingga ke akar umbi, termasuk menerangkan kepada masyarakat mengenai isu Tabung Haji (TH).

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, isu TH bukan semata-mata berkaitan umat Islam, sebaliknya menyentuh soal tata kelola negara yang perlu difahami dan diperjelaskan kepada rakyat.

Beliau berkata, anggota Wanita PKR perlu memainkan peranan sebagai juru cakap parti dengan memastikan penerangan mengenai isu berkenaan sampai kepada masyarakat melalui pelbagai pendekatan.

“Rakyat mesti tahu apa yang berlaku, rakyat mesti tahu apa yang sedang kita lakukan dan rakyat kena tahu apa yang sedang berlaku dalam negara ini.

“Sebab itu penerangan ini mesti berlaku. Setiap rakan-rakan kita mesti ada juru cakapnya. Penerangan kita, komunikasi kita, ketua wanita kita kena sebut perkara-perkara ini dan mesti disampaikan dalam masyarakat,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Nasional Tahunan Wanita Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, isu TH ketika ini amat mendesak dan memerlukan kesedaran rakyat kerana ia membabitkan amanah serta simpanan jutaan umat Islam.

Katanya, sokongan terhadap usaha menerangkan isu itu juga datang daripada rakan-rakan parti bukan Islam yang memahami bahawa persoalan berkenaan turut berkait rapat dengan tata kelola negara.

“Bila saya sebut sahaja kita mesti ada wacana tentang Tabung Haji ini, ramai yang turun, termasuk rakan-rakan kita yang bukan Islam yang memahami bahawa isu ini adalah isu tentang tata kelola negara dan bukan semata-mata isu umat Islam. Isu ini sangat mendesak ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan anggota Wanita PKR supaya tidak kehilangan semangat aktivisme walaupun parti kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Jangan hilangkan aktivisme. Jangan simpan. Ini benda yang mesti kita terus lakukan,” katanya.

Beliau berkata, gerakan parti tidak seharusnya hanya bergantung kepada kementerian kerana semua isu berkaitan dasar negara perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Kita masuk dan bina kerajaan ini sebagai kerajaan perpaduan. Semua isu polisi negara itu adalah polisi perpaduan.

“Jadi kalau ada isu tertentu, kita mesti pertahankan bersama dan melihat bahawa ini adalah kerajaan perpaduan yang sedang kita pertahankan,” katanya.

Mengulas agenda wanita pula, Fadhlina berkata hak wanita dan kanak-kanak perlu terus menjadi perjuangan asas termasuk membela mangsa keganasan rumah tangga, gangguan seksual serta wanita yang berdepan masalah kewarganegaraan anak.

Beliau turut menggesa anggota parti di peringkat cabang memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada sistem pendidikan.

“Pastikan tidak ada seorang pun kanak-kanak yang tidak bersekolah. Itu tanggungjawab kita, itu tujuan kita, antara perjuangan kita, memastikan anak-anak kita semuanya pergi ke sekolah,” ujarnya. – UTUSAN

The post Jangan hilang aktivisme, terus ‘bisik’ isu rakyat – Fadhlina appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved