SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan apabila ketika rakyat bergelut dengan kesusahan, masih ada segelintir pihak menikmati kekayaan hasil amanah yang dikhianati dan keadilan dipermainkan.
Baginda bertitah, keadaan kezaliman itu berlaku apabila kuasa tidak lagi dipandu dengan sifat amanah, sebaliknya dikuasai kerakusan nafsu.
"Janganlah sesekali kita menyangka bahawa orang-orang yang berlaku zalim akan terlepas daripada pengadilan ALLAH SWT.
"Hakikatnya ALLAH SWT sengaja menangguhkan azab ke atas mereka yang zalim agar mereka merasakan betapa dahsyat dan gerunnya kemurkaan ALLAH SWT," titah Baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Tahlil sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-69 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Jumaat.
Turut mengiringi baginda ialah, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Baginda turut berkenan mendengar khutbah Jumaat bertajuk 'Merdeka daripada belenggu Kerakusan' yang menyeru umat Islam menghayati makna kemerdekaan dengan membebaskan diri daripada hawa nafsu, ketamakan dan pengkhianatan.
Titah baginda, kemerdekaan hakiki bermula dengan kemampuan setiap individu mengawal diri daripada perkara yang boleh merosakkan kehidupan dan masyarakat.
Baginda turut mengingatkan tanda-tanda kehidupan di akhir zaman semakin jelas termasuk ketika amanah diuruskan oleh mereka yang tidak berkelayakan serta amanah dikhianati demi kepentingan diri.
Sehubungan itu, baginda meminta umat Islam supaya menjauhi sikap pecah amanah kerana perbuatan itu boleh meruntuhkan kepercayaan dan menghilangkan keberkatan dalam kehidupan bermasyarakat.
Baginda bertitah, setiap individu yang diberi tanggungjawab mengurus harta dan kepentingan umat termasuk pihak yang diberi kuasa mengurus dana awam memikul tanggungjawab besar di sisi ALLAH.
"Sesungguhnya, mengurus dana awam dengan amanah ialah tanda cinta kita kepada umat dan negara.
"Jangan biarkan harta yang sepatutnya memberi manfaat kepada umat diseleweng demi kepentingan peribadi," tegas baginda.
Baginda bertitah, setiap ahli masyarakat perlu menunaikan amanah diberikan dengan penuh kejujuran, walaupun amanah itu kecil kerana ia adalah asas kepada kesejahteraan dan kemerdekaan hakiki.
"(Pihak) bersalah wajib dihukum, (manakala) yang amanah wajib disokong dan sistem yang baik hendaklah terus diperbaiki dari masa ke masa," titah baginda.






