SEREMBAN - Bagaikan ada sesuatu isyarat yang mahu disampaikan anak kepada Datuk Ismail Lasim menerusi hantaran di laman sosialnya berhubung tindakan bapanya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Anaknya yang menggunakan nama 'naimismaill' di Instagram mempersoalkan pihak yang mengeluarkan kenyataan berhubung peletakan jawatan bapanya.
"Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut?
"Kalau bukan atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?," tulisnya.
Menurutnya, dari awal lagi segala arahan parti telah dipatuhi bapanya, namun mengecewakan apabila ia berakhir begini.
Dalam hantaran sama, beliau turut mengingatkan supaya tiada pihak menjadikan orang lain sebagai kambing hitam demi kepentingan pihak tertentu.
"Belum apa-apa selesai dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri.
"Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam. Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Lasim letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan
BN kemuka satu nama calon MB Negeri Sembilan - Ahmad Zahid
Peletakan jawatan MB Negeri Sembilan perlu perkenan Tuanku Muhriz -Istana
Exco Negeri Sembilan umum Tuanku Muhriz diturunkan takhta, iktiraf Tuanku Nadzaruddin
Tindakan Exco Negeri Sembilan umum penurunan takhta Tuanku Muhriz perbuatan derhaka - Aminuddin
Exco Kerajaan Negeri Sembilan tidak boleh atasi UUTKNS - Undang Luak Rembau
Tambahnya, semua orang tahu apa yang berlaku dan jangan buat seolah-olah hanya satu pihak yang bersalah.
Sebelum ini media melaporkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO telah menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkuat kuasa pada Isnin.
Bagaimanapun Istana Negeri Sembilan memaklumkan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail yang dikatakan telah ditandatangani beliau.
Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan media memaklumkan, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa.






