
SETIAP kali Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat, mendedahkan realiti sosial yang berlaku di negeri ini, pasti ada pihak yang kurang senang dengan tindakan itu.
Malah, ada yang menganggap kenyataan beliau cuba mencemarkan imej Kelantan, malah tidak kurang juga yang melihatnya sebagai gambaran negatif terhadap negeri yang sinonim dengan gelaran Serambi Mekah.
Namun, persoalannya, adakah lebih baik masalah itu disembunyikan semata-mata mahu menjaga imej, atau didedahkan supaya semua pihak sedar dan bertindak sebelum keadaan menjadi lebih parah?
Sejak menggalas tugas pada 29 Oktober 2024 lalu, Mohd. Yusoff tidak pernah berselindung daripada menyatakan hakikat sebenar malah dengan tegas mendedahkan penyalahgunaan pil kuda yang masih menjadi ancaman serius kepada masyarakat.

Tidak cukup dengan itu, Mohd. Yusoff menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kes melibatkan hubungan sumbang mahram yang sebelum ini dianggap isu terpencil, tetapi hakikatnya semakin membimbangkan.
Mohd. Yusoff sekali lagi membuka mata masyarakat apabila mendedahkan bahawa antara punca pengabaian kanak-kanak di Kelantan ialah kedua-dua ibu bapa berada di dalam penjara.
Lebih menyedihkan, menurut beliau, kebanyakan bapa dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan berkaitan dadah, jenayah seksual dan pelbagai jenayah lain.
Keadaan itu menyebabkan anak-anak kehilangan tempat bergantung, seterusnya terdedah kepada pelbagai bentuk pengabaian dan risiko masalah sosial.
Pendedahan ini bukan bertujuan memalukan sesiapa. Sebaliknya, ia memberi gambaran bahawa masalah sosial tidak berlaku secara berasingan.
Dadah, jenayah seksual, keruntuhan institusi keluarga dan pengabaian kanak-kanak sebenarnya saling berkait dalam satu rantaian yang panjang.
Apabila seorang bapa dipenjarakan akibat dadah, bukan sekadar seorang pesalah dipisahkan daripada masyarakat. Sebuah keluarga turut menerima kesannya.
Anak-anak kehilangan kasih sayang, pendidikan dan perhatian. Dalam keadaan tertentu, mereka membesar tanpa bimbingan sehingga akhirnya mengulangi kitaran masalah yang sama.
Begitu juga apabila seorang ibu turut dipenjarakan. Anak-anak mungkin terpaksa dijaga oleh saudara-mara, datuk dan nenek atau lebih malang lagi, terbiar tanpa perhatian sewajarnya.
Dalam keadaan seperti itu, risiko tercicir daripada pendidikan, terjebak dengan gejala sosial dan menjadi mangsa eksploitasi semakin tinggi.
Justeru, apabila Mohd. Yusoff menyatakan bahawa kurangnya didikan agama dan kegagalan institusi keluarga memainkan peranan antara faktor utama berlakunya pengabaian kanak-kanak, kenyataan itu tidak seharusnya dilihat sebagai tuduhan.
Sebaliknya, ia adalah satu pemerhatian berdasarkan pengalaman mengendalikan ribuan kes jenayah dan kebajikan masyarakat.
Hakikatnya, polis berada di barisan hadapan. Mereka melihat apa yang berlaku di sebalik pintu rumah yang tertutup.
Mereka menyaksikan nasib anak-anak yang menjadi mangsa keadaan, keluarga yang musnah akibat dadah dan pelbagai kisah yang mungkin tidak pernah diketahui masyarakat umum.
Sebab itu, apabila seorang ketua polis bercakap mengenai masalah sosial, beliau tidak bercakap berdasarkan persepsi atau andaian.
Beliau bercakap berdasarkan fakta, statistik dan pengalaman yang diperoleh sepanjang mengendalikan kes di lapangan.
Kita juga perlu menerima hakikat bahawa mengakui sesuatu masalah tidak bermaksud kita mengaku kalah. Sebaliknya, pengakuan itulah langkah pertama untuk mencari penyelesaian.
Negeri ini tidak akan menjadi lebih baik jika semua pihak memilih untuk menafikan realiti. Menutup kelemahan bukan jalan keluar. Masalah yang disorok akhirnya akan menjadi lebih besar sehingga sukar dikawal.
Sebaliknya, setiap pendedahan perlu dijadikan asas kepada tindakan bersama. Institusi keluarga perlu diperkukuhkan. Pendidikan agama dan moral mesti diperkasakan sejak kecil.
Agensi kerajaan, sekolah, institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat setempat perlu berganding bahu membantu keluarga yang berdepan krisis.
Apa yang lebih penting ialah memastikan anak-anak yang menjadi mangsa keadaan tidak terus dihukum akibat kesalahan ibu bapa mereka.
Mohd. Yusoff telah menjalankan tanggungjawabnya dengan memberi amaran awal kepada masyarakat.
Kini terpulang kepada semua pihak sama ada mahu menganggap kenyataan itu sebagai kritikan terhadap negeri atau menjadikannya sebagai cermin untuk memperbaiki kelemahan yang ada.
Sesungguhnya, pemimpin yang berani menyatakan kebenaran sering kali menerima kecaman. Namun sejarah membuktikan, masalah yang diakui lebih mudah diselesaikan berbanding masalah yang dinafikan.
Oleh itu, jangan marah Ketua Polis Kelantan. Sebaliknya, marilah kita sama-sama marah terhadap dadah, jenayah seksual, keruntuhan institusi keluarga dan pengabaian kanak-kanak yang semakin meragut masa depan generasi muda.
Kerana hakikatnya, musuh sebenar bukanlah mereka yang berani bercakap benar, tetapi masalah sosial yang jika terus dibiarkan akhirnya akan merosakkan seluruh masyarakat.
Kor guanor? – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.
The post Jangan marah ketua polis Kelantan appeared first on Utusan Malaysia.






