SHAH ALAM – Jenama penjagaan diri lelaki dari Indonesia, Kahf tampil memohon maaf susulan hantaran di media sosial yang dianggap memperlekehkan beberapa negara ASEAN.
Kahf menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh terhadap hantaran berkenaan dan memadamkannya selepas menerima kecaman orang ramai.
"Di Kahf, rasa hormat menjadi teras kepada nilai yang kami pegang dan baru-baru ini kami gagal memenuhi nilai tersebut.
"Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala kekecewaan yang telah ditimbulkan. Terima kasih kerana menegur dan memastikan kami bertanggungjawab atas tindakan tersebut," katanya pada Rabu.
Sebelum ini, Kahf memuat naik hantaran di platform Threads menerusi akaun @kahfeveryday yang memaparkan bendera Indonesia diletakkan di atas garisan bertulis 'Hati-hati beda level' manakala beberapa bendera negara ASEAN diletakkan di bawah garisan berkenaan.
Hantaran tersebut dipercayai dibuat susulan kejayaan Indonesia menjuarai Piala FIFA ASEAN Cup 2026 pada Isnin lalu.
Kontroversi tersebut juga menyebabkan produk berkenaan menjadi sasaran boikot dalam kalangan sesetengah pengguna terutama di Malaysia.
Akaun Threads Kahf Malaysia, @kahfeveryday.my turut mengakui kekhilafan tersebut menjadi pengajaran besar untuk mereka lebih peka dan sensitif pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Kahf menegaskan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia sentiasa berteraskan semangat persaudaraan dan rasa hormat.
"Kami komited untuk mengekalkan rasa hormat yang sama terhadap semua negara dan budaya.
"Kahf juga memahami bahawa usaha untuk membina semula kepercayaan memerlukan lebih daripada sekadar permohonan maaf.
"Kami bertekad untuk mendapatkan semula kepercayaan itu melalui tindakan kami. Kami akan melakukan yang lebih baik," katanya.






