Jenama Malaysia perlu fahami budaya pasaran serantau sebelum tembusi ASEAN, kata SEA CAN Alliance

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 10:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jenama Malaysia perlu fahami budaya pasaran serantau sebelum tembusi ASEAN, kata SEA CAN Alliance Image from: Jenama Malaysia perlu fahami budaya pasaran serantau sebelum tembusi ASEAN, kata SEA CAN Alliance amree10/11/2026 - 10:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov – Perbezaan budaya, bahasa, sensitiviti halal dan corak perbelanjaan pengguna antara cabaran utama yang perlu difahami syarikat Malaysia sebelum mengembangkan jenama ke pasaran Asia Tenggara, meskipun rantau ini menawarkan peluang luas perdagangan dan pelaburan.

 

Keperluan pemahaman pengguna tempatan itu menjadi antara fokus Persidangan Asia Tenggara Kedua anjuran Southeast Asia Communications Agencies Network (SEA CAN) Alliance by COMCO Mundo di Ho Chi Minh City, Vietnam, yang menghimpunkan pakar komunikasi dari tujuh negara termasuk Malaysia.

 

Persidangan bertemakan 'From Vietnamese Products to Regional Brands' itu membincangkan strategi membantu perusahaan tempatan membina jenama serantau dengan mengambil kira perbezaan budaya, tingkah laku pengguna serta persekitaran media di setiap pasaran.

 

"Potensi kerjasama serantau turut disokong perkembangan perdagangan Vietnam dengan ASEAN yang mencecah AS$84.3 bilion (kira-kira RM344 bilion) bagi sembilan bulan pertama 2026, meningkat 20.6% berbanding tempoh sama sebelumnya," jelas firma tersebut dalam kenyataan.

 

Malaysia katanya, turut menjadi rakan perdagangan penting Vietnam apabila perdagangan dua hala meningkat 19% kepada AS$21.6 bilion (RM87.8 bilion) pada 2025, manakala pelabur Malaysia mempunyai 786 projek di negara itu dengan nilai hampir AS$15 bilion (RM61 bilion).

 

Menerusi persidangan itu, pakar komunikasi Malaysia mengetengahkan kepentingan memahami demografi, bahasa dan ekosistem digital tempatan, termasuk penggunaan bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil serta mengambil kira sensitiviti halal ketika merangka strategi pemasaran.

 

SEA CAN_DagangNews2026

 

Wakil enam negara lain turut berkongsi pendekatan masing-masing, termasuk kepentingan kandungan bahasa Khmer di Kemboja, perdagangan menerusi video pendek dan siaran langsung di Indonesia, penceritaan secara autentik di Filipina serta nilai dan kualiti produk di Thailand.

 

"Bagi Singapura, pasaran itu berperanan sebagai pintu masuk serantau yang menghubungkan syarikat dengan pelabur dan rangkaian global, manakala Vietnam menekankan kepentingan kepercayaan pengguna menerusi kandungan di media berita, platform sosial dan enjin carian," katanya.

 

Ketua Eksekutif COMCO Mundo League of Enterprises merangkap Pengasas Bersama SEA CAN Alliance, Ferdinand L Bondoy berkata, syarikat perlu mengekalkan hala tuju jenama yang konsisten, namun pendekatan pelaksanaan mesti disesuaikan dengan realiti dan keperluan setiap pasaran.

 

Persidangan itu turut menyaksikan pelancaran buku panduan SEA CAN Alliance GO SEA Guidebook yang menghimpunkan pengalaman serta pandangan praktikal ahli rangkaian dari tujuh negara Asia Tenggara, termasuk peraturan dan budaya bagi membantu syarikat merancang pengembangan perniagaan serantau.

 

SEA CAN Alliance by COMCO Mundo yang menghimpunkan agensi komunikasi bebas dari Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam itu menyasarkan pengukuhan kerjasama rentas sempadan dengan menghubungkan syarikat kepada kepakaran tempatan.

 

"Kami berharap persidangan ini dapat menyokong pembinaan jenama serta pertumbuhan perniagaan secara mampan di pasaran seluruh pasaran Asia Tenggara," jelas beliau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved