Jenazah Muhammad Idlan Fareeq akan dibawa ke Gemencheh

26 Sep 2026 • 1:56 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jenazah Muhammad Idlan Fareeq akan dibawa ke Gemencheh

SEREMBAN: Suasana pilu menyelubungi Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini apabila jenazah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba di Kuala Pilah dibawa untuk menjalani bedah siasat.

Ahli keluarga pelajar berkenaan termasuk ibu mangsa, Norazura Ngatimon, 40an dan bapa tirinya yang dikenali sebagai Shahrizal turut menanti proses bedah siasat yang bermula pukul 9.25 pagi selesai.

Turut menziarahi keluarga itu ialah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.

Malam tadi, mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.

Allahyarham dipercayai menjadi mangsa buli.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun untuk membantu siasatan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam semalam di sebuah asrama sekolah di daerah Kuala Pilah.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Kamaruddin Ngatimon, 49, menyifatkan mangsa sebagai anak yang baik, pendiam dan bukan seorang kaki gaduh.

Katanya, arwah tidak pernah mengadu mengenai masalah yang dihadapi di asrama dan memberitahu semua perkara dalam keadaan baik.

“Kali terakhir saya jumpa arwah ialah tiga bulan lalu dan ketika saya tanya bagaimana sekolah, dia hanya kata okay,” katanya kepada para pemberita di pekarangan Jabatan Forensik HTJ.

Tegasnya, keluarga mereka berasa kesal kerana kematian Muhammad Idlan Fareeq hanya diketahui melalui pihak hospital dan pihak sekolah tidak memberitahu apa-apa semasa mangsa dihantar ke hospital.

Jenazah Muhammad Idlan Fareeq dijangka dibawa balik ke Gemencheh untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan As-Syakirin selepas urusan bedah siasat selesai dan pengurusan jenazah dibuat di HTJ. – UTUSAN

The post Jenazah Muhammad Idlan Fareeq akan dibawa ke Gemencheh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved