'Jasanya terpahat di hati.' Bekas atlet kriket negeri, Naib Juara MSSM 2024, Muhammad Idlan pergi selamanya di asrama

26 Sep 2026 • 6:21 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Jasanya terpahat di hati.' Bekas atlet kriket negeri, Naib Juara MSSM 2024, Muhammad Idlan pergi selamanya di asrama

PEMERGIAN tragis pelajar Tingkatan Dua Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril meruntun hati apabila selepas ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama.

Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, berasal dari Gemencheh merupakan anak sulung daripada tiga beradik dibawa ke dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebelum disahkan meninggal dunia.

Kriket Adiwira Negeri Sembilan menerusi laman sosial berkongsi sumbangan remaja itu dalam pasukan kriket hingga meraih Naib Johan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

"Kami merakamkan ucapan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang telah kembali ke rahmatullah pada 25 September 2026.

"Allahyarham merupakan salah seorang pemain Kriket Bawah 12 Tahun Negeri Sembilan yang telah mewakili Negeri Sembilan dalam Kejohanan Kriket MSSM 2024 dan bersama pasukan berjaya meraih Naib Johan MSSM 2024.

Image from: 'Jasanya terpahat di hati.' Bekas atlet kriket negeri, Naib Juara MSSM 2024, Muhammad Idlan pergi selamanya di asrama
Foto: Cricket Adiwira N9

"Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan, guru, jurulatih serta seluruh warga kriket Negeri Sembilan yang pernah mengenali dan bersama-sama melalui perjalanan beliau dalam sukan kriket.

"Semoga segala jasa, kenangan dan kebaikan Allahyarham menjadi kenangan yang terus terpahat di hati semua," titipnya.

Bapa saudaranya, Kamaruddin Ngatimon, 49, memaklumkan Muhammad Idlan adalah pemain kriket dan berminat untuk masuk ke sekolah berkenaan, namun difahamkan sukan kriket tidak ditawarkan.

"Dia dapat masuk ke sekolah itu ketika di Tingkatan Dua dan memilih sukan memanah. Dia terima dan mula sertai sukan memanah," katanya.

Kamaruddin berkata seluruh keluarga masih terkejut dan berdukacita selepas pemergian Allahyarham yang berlaku dalam sekelip mata.

Remaja itu yang disifatkan sebagai seorang anak yang pendiam, tenang serta tidak pernah mencari masalah dengan sesiapa.

Image from: 'Jasanya terpahat di hati.' Bekas atlet kriket negeri, Naib Juara MSSM 2024, Muhammad Idlan pergi selamanya di asrama

Malah Allahyarham abang sulung yang sentiasa mengambil berat serta menyayangi adik-adiknya.

"Sebab itu apabila saya dapat berita malam tadi, saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku ke atasnya.

"Adiknya yang berada di Melaka juga bergegas pulang dan apabila tengok keadaan abangnya, dia terlalu sedih kerana arwah sangat rapat dengan adik keduanya itu," katanya.

Kamaruddin juga berharap pembelaan dan keadilan sewajarnya diberikan kepada Allahyarham serta mengenakan hukuman setimpal dikenakan terhadap pihak yang didapati bersalah dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata susulan kejadian itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan dan direman sehingga 1 Oktober bagi membantu siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang meneliti semua fakta dan bukti bagi menentukan punca dan motif sebenar kejadian," ujarnya.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau menularkannya sehingga boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar yang terlibat.

"Keutamaan pihak polis adalah untuk memastikan siasatan dijalankan secara profesional, menyeluruh dan berdasarkan bukti bagi memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian, Bernama, Facebook

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved