JLand meterai kerjasama strategik teroka potensi hartanah di Australia dan JS-SEZ

29 Jul 2025 • 2:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JLand meterai kerjasama strategik teroka potensi hartanah di Australia dan JS-SEZ

image is not available

29/07/2025 - 14:54

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Julai – JLand Group, anak syarikat Johor Corporation (JCorp) yang memfokuskan segmen hartanah dan infrastruktur terus memperluas capaian globalnya menerusi pemeteraian dua perjanjian kerangka strategik bersama Far East Consortium Australia (FEC) dan Malaysia Land Properties Sdn Bhd (Mayland).

Menerusi kerjasama itu, JLand bakal meneroka peluang pembangunan hartanah di pasaran Australia serta mengaktifkan tanah strategik di Malaysia selaras dengan visi jangka panjang kumpulan untuk menjadi peneraju pembangunan rentas sempadan yang mampan.

Pengarah Urusan JLand, Datuk Akmal Ahmad berkata, perjanjian dengan FEC bakal memperkukuh kehadiran JLand di Australia, manakala kolaborasi bersama Mayland akan menyokong strategi pengaktifan nilai tanah domestik secara berperingkat, khususnya dalam zon pembangunan strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Kerjasama ini membolehkan kami memanfaatkan peluang di pasaran dengan mempercepatkan pelaksanaan projek, mengukuhkan keyakinan pelabur dan menyumbang kepada impak sosioekonomi jangka panjang untuk Johor dan Malaysia.

“Pendekatan strategik kumpulan terus memberi tumpuan kepada pembangunan yang berimpak tinggi dari sudut komersial, sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif FEC, Craig Williams menyifatkan kerjasama itu sebagai peluang penting untuk mencipta pembangunan yang bukan hanya memenuhi kehendak pasaran, malah turut memberi manfaat kepada komuniti setempat secara menyeluruh.

JLand sebelum ini giat membangunkan pelbagai projek mercu di Johor, termasuk dalam sektor kediaman, komersial dan industri dan kini bersedia melangkah ke pasaran serantau dengan rakan strategik berwibawa. - DagangNews.com

standard