amree19/08/2026 - 14:21 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos — Prestasi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) Mega First Corporation Berhad dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2026 (2H26) selepas penyelenggaraan turbin berjadual diselesaikan lebih awal sebelum musim tengkujuh, menurut Public Investment Bank.
Tambah firma itu, faktor ketersediaan tenaga (EAF) loji hidro Don Sahong di Laos turut menunjukkan peningkatan kepada 75.2% bagi 1HFY26 berbanding 74.6% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, memberikan asas kepada pemulihan prestasi operasi segmen RE.
Ujarnya, keuntungan teras kumpulan tersebut bagi 1HFY26 susut 5.1% tahun ke tahun (YoY) kepada RM181.5 juta, masing-masing mewakili 45% dan 52% daripada unjuran setahun firma penyelidikan itu dan konsensus pasaran.
"Bagi 2QFY26, hasil Mega First merosot 3.3% YoY kepada RM328.7 juta, dengan hasil segmen RE dan sumber masing-masing turun 10% dan 10.6%, namun sebahagiannya diimbangi peningkatan 14.7% dalam hasil perniagaan pembungkusan dan label," kata PublicInvest.
Hasil RE susut kepada RM135.5 juta daripada RM150.6 juta, terjejas oleh kesan terjemahan mata wang sebanyak 7.3% akibat kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit, selain penjanaan hidro turun 3.9% apabila satu turbin menjalani penyelenggaraan berjadual sepanjang suku tersebut.
Kesannya, EAF Don Sahong bagi 2QFY26 menurun kepada 77.2% daripada 80.3% pada suku sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun PublicInvest menjangkakan penggunaan kesemua lima turbin ketika musim hujan akan meningkatkan kadar penggunaan dan menyokong pemulihan hasil RE pada separuh kedua tahun ini.

"Keuntungan teras 2QFY26 turut susut 5.5% YoY kepada RM95.8 juta, disebabkan sumbangan keuntungan RE merosot 14.1% dan segmen sumber 20.5%. Kadar cukai efektif juga meningkat kepada 16% daripada 4.3%, susulan pengenaan cukai korporat 5% terhadap pendapatan hidro," jelasnya.
PublicInvest berkata pengukuhan dolar AS kepada sekitar RM4.09 dijangka membantu mengurangkan kerugian terjemahan hasil RE daripada kira-kira 9% kepada kurang 3%, sekali gus menjadi antara faktor yang menyokong pemulihan keuntungan Mega First pada 2H26.
Dalam segmen sumber, hasil merosot 10.6% kepada RM43.1 juta, susulan permintaan domestik yang lebih lembap daripada industri keluli, manakala perniagaan pembungkusan dan label mencatat peningkatan hasil kepada RM120 juta hasil jumlah jualan lebih tinggi serta pelarasan harga.
Pada masa sama, firma penyelidikan berkenaan turut memberi perhatian kepada Edenor, iaitu perniagaan oleokimia yang mencatat kerugian lebih besar sebanyak RM58.2 juta pada tempoh 1HFY26.
Operasi kilang dihentikan dan pemberhentian pekerja dilaksanakan ketika perniagaan itu berada di bawah pengurusan perundangan, yang dijangka mengehadkan kerugian pada 2H26 sementara menunggu keputusan penjualan aset atau keseluruhan perniagaan.
Justeru, PublicInvest mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Mega First dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM4.95, disokong dividen pertama 5 sen yang diumumkan bagi suku berkenaan.
Dalam jangka panjang, kumpulan turut meneroka peluang tenaga angin di Kemboja menerusi anak syarikat baharu, dengan sasaran pelaksanaan sekitar 2028 hingga 2029. - DagangNews.com





