hamden15/09/2026 - 14:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyifatkan penjualan saham SD Guthrie Bhd susulan penerbitan sukuk boleh tukar (ES) oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai keterlaluan dan tidak wajar.
Menurut firma penyelidikan itu asas SD Guthrie kekal utuh meskipun harga sahamnya mengalami tekanan baru-baru ini.
Tambahnya, reaksi pasaran terhadap penerbitan ES bernilai AS$300 juta atau RM1.22 bilion oleh PNB adalah tidak berasas kerana instrumen berkenaan tidak memberi kesan kepada pendapatan sesaham (EPS) SD Guthrie.
“Kami percaya penjualan saham baru-baru ini adalah tidak wajar kerana tiada perubahan fundamental yang berlaku sepanjang bulan lalu selain penerbitan sukuk boleh tukar AS$300 juta oleh PNB,” katanya dalam nota penyelidikan pada Selasa.
Sehubungan itu Maybank IB menaik taraf penarafan SD Guthrie kepada “BELI” daripada “PEGANG”.
Disalah tafsir pasaran
Maybank IB berkata kebimbangan mengenai potensi tekanan jualan atau lebihan bekalan saham daripada sukuk boleh tukar itu juga telah berakhir dan sebahagian besarnya disalah tafsir oleh pasaran.
Ini kerana sukuk tersebut diterbitkan oleh PNB, bukannya SD Guthrie, justeru tiada saham baharu akan diterbitkan oleh kumpulan itu sekiranya pelabur melaksanakan hak penukaran mereka.
Selain itu, Maybank IB menganggarkan harga saham SD Guthrie perlu meningkat kepada sekurang-kurangnya RM8.66 sebelum pelabur sukuk boleh menukarkan pegangan mereka kepada saham SD Guthrie.
Paras itu jauh lebih tinggi berbanding harga dagangan semasa saham berkenaan.
Saham SD Guthrie meningkat daripada RM6.14 pada 9 September, ketika PNB mengumumkan penerbitan sukuk boleh tukar itu, kepada RM6.34 pada Selasa, memberikan kumpulan perladangan itu permodalan pasaran sebanyak RM43.85 bilion.
Peningkatan penarafan itu turut disokong prospek pendapatan SD Guthrie yang kekal kukuh.
Untung dijangka meningkat
Maybank IB mengunjurkan keuntungan bersih teras kumpulan sebanyak RM2.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, iaitu 5% lebih tinggi berbanding konsensus pasaran sebanyak RM2.76 bilion.
Bagaimanapun, firma itu berkata jangkaan konsensus pasaran bagi tempoh jangka panjang masih lebih tinggi berbanding unjurannya.
Berdasarkan data Bloomberg, sentimen pasaran terhadap SD Guthrie kekal positif dengan 14 daripada 18 firma penyelidikan memberikan penarafan “BELI”, dua “PEGANG” dan dua lagi “OUTPERFORM”.
Harga sasaran konsensus Bloomberg bagi tempoh 12 bulan pula ialah RM7.65, membayangkan potensi kenaikan sebanyak 20.9% daripada paras dagangan semasa.
Maybank IB mengekalkan harga sasaran RM7.10 terhadap SD Guthrie, berdasarkan 0.55 kali nilai aset bersih disemak (RNAV).
Firma itu menjangkakan pertumbuhan masa depan kumpulan akan semakin disokong oleh perniagaan baharu, termasuk pembangunan bersama taman perindustrian melibatkan lebih 20,000 ekar tanah.
Perniagaan tersebut disasarkan untuk menjana pendapatan tahunan antara RM500 juta hingga RM700 juta.
Selain itu, SD Guthrie turut menyasarkan pembangunan projek solar berskala besar berkapasiti satu gigawatt, sekali gus membuka ruang kepada sumber pertumbuhan baharu di luar perniagaan perladangan tradisional. - DagangNews.com




