Jualan hartanah siap RM507.6 juta jadi kunci pemulihan Gabungan AQRS ketika hutang meningkat - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 10:46 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan hartanah siap RM507.6 juta jadi kunci pemulihan Gabungan AQRS ketika hutang meningkat - Penganalisis Image from: Jualan hartanah siap RM507.6 juta jadi kunci pemulihan Gabungan AQRS ketika hutang meningkat - Penganalisis sarah26/11/2026 - 10:46 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Keupayaan Gabungan AQRS Bhd (Gabungan AQRS) menjual inventori hartanah siap bernilai RM507.6 juta dilihat menjadi faktor penting dalam pemulihan kewangan kumpulan ketika aktiviti pembinaan semakin perlahan dan hutang bersih meningkat.

 

BIMB Securities Research berkata, penjualan unit hartanah menerusi projek The Peak di Johor Bahru serta kutipan bayaran daripada pembeli amat penting bagi mengurangkan hutang dan memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan.

 

Bagaimanapun, jualan hartanah sebanyak RM7.4 juta pada suku pertama tahun kewangan 2027 (FY27) serta tempahan atau jualan bernilai RM21 juta yang masih dalam proses dokumentasi disifatkan rendah berbanding nilai inventori hartanah siap kumpulan.

 

Menara pertama The Peak telah siap, manakala menara kedua dijangka memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada suku kedua FY27.

 

Hutang bersih Gabungan AQRS meningkat 11.4% berbanding suku sebelumnya kepada RM342.3 juta daripada RM307.4 juta, manakala aliran tunai daripada aktiviti operasi mencatatkan nilai negatif RM26.1 juta.

 

Projek berhampiran RTS Link berpotensi tarik pembeli

RHB Research pula berpandangan projek The Peak yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM689 juta berpotensi menarik lebih banyak minat pembeli berikutan kedudukannya berhampiran stesen Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura.

 

Prospek perniagaan hartanah kumpulan turut disokong oleh projek Serena Gambang di Pahang dengan GDV kira-kira RM382 juta yang dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2027, selain projek pembangunan hartanah menerusi usaha sama dengan Rising Charm di Bangi, Selangor, bernilai RM600 juta.

 

Peluang kontrak LRT3 dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah

Dalam sektor pembinaan, RHB Research tidak menolak kemungkinan Gabungan AQRS menyertai tender bagi pakej pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dikembalikan dalam skop projek, berdasarkan pengalaman kumpulan membina stesen Stadium Shah Alam dan Glenmarie.

 

Pelaksanaan Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah juga berpotensi memberi manfaat kepada SEDCO Precast, syarikat yang 49% dimiliki Gabungan AQRS, dengan nilai keseluruhan kontrak pembekalan komponen konkrit pratuang di peringkat subkontraktor dianggarkan antara RM400 juta hingga RM500 juta.

 

Kerugian bersih RM14 juta

Gabungan AQRS mencatatkan kerugian bersih RM14 juta pada suku pertama FY27 berbanding keuntungan bersih RM400,000 dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan merosot 62% kepada RM18.2 juta.

 

Segmen pembinaan menjadi penyumbang utama kepada kerugian kumpulan dengan mencatatkan kerugian sebelum cukai RM14.2 juta, manakala buku tempahan belum selesai berjumlah RM222.3 juta.

 

BIMB Securities menurunkan unjuran keuntungan bersih teras FY27 sebanyak 36% kepada RM14 juta serta harga sasaran saham kepada 27 sen daripada 32 sen, manakala RHB Research mengekalkan unjuran keuntungan RM26 juta dan harga sasaran 32 sen. Kedua-duanya mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved