sarah24/11/2026 - 10:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Peningkatan jumlah pengunjung Suria KLCC sebanyak 4% bagi sembilan bulan pertama 2026 belum diterjemahkan kepada pertumbuhan jualan penyewa, sekali gus menimbulkan cabaran kepada KLCCP Stapled Group untuk meningkatkan keuntungan segmen peruncitannya.
CGS International (CGSI) berkata, meskipun pusat beli-belah itu mengekalkan kadar penghunian tinggi sebanyak 98%, purata bergerak jualan penyewa mencatatkan penurunan 1% berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan perbelanjaan promosi dan pengiklanan turut memberi tekanan kepada margin keuntungan Suria KLCC, meskipun jualan penyewa dan jumlah pengunjung menunjukkan pemulihan berbanding suku sebelumnya.
Penyewa terima manfaat terlebih dahulu
Sementara itu, RHB Research berpandangan peningkatan perbelanjaan pengguna, khususnya ketika musim perayaan, lebih banyak memberi manfaat kepada penyewa terlebih dahulu, sedangkan KLCCP perlu menanggung kos promosi pada peringkat awal.
Keadaan itu disebabkan sebahagian kecil sahaja daripada pendapatan sewaan pusat beli-belah berkenaan bergantung kepada jualan penyewa, menyebabkan manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna hanya dapat dinikmati KLCCP secara berperingkat menerusi kenaikan kadar sewa.
Bagi sembilan bulan pertama 2026, hasil segmen peruncitan meningkat 1.6% kepada RM429.9 juta, namun keuntungan operasi hanya berkembang 0.7% kepada RM356.2 juta berikutan peningkatan perbelanjaan promosi.
Pengurusan KLCCP merancang untuk mempergiatkan lagi aktiviti promosi pada suku keempat bagi menyokong pemulihan jualan penyewa, manakala CGSI menjangkakan peningkatan kadar sewa pada kadar pertengahan satu digit bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Pemulihan Mandarin Oriental masih perlahan
RHB Research turut menjangkakan pemulihan prestasi Mandarin Oriental Kuala Lumpur berlaku secara berperingkat berikutan kerja pengubahsuaian pangsapuri perkhidmatan yang berterusan sehingga separuh pertama 2027.
Bagaimanapun, kadar penghunian hotel itu meningkat kepada kira-kira 64% pada suku ketiga daripada 51% pada suku sebelumnya, membolehkannya mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM4.5 juta berbanding kerugian RM2.2 juta pada suku kedua.
Segmen pejabat pula kekal sebagai penyumbang utama keuntungan kumpulan, dengan pembaharuan perjanjian sewaan Menara 3 PETRONAS pada Disember 2026 dan Menara Berkembar PETRONAS pada September 2027 dijangka menjadi perkembangan penting kepada pertumbuhan pendapatan.
Penganalisis turunkan unjuran keuntungan
Susulan tekanan kos peruncitan dan pemulihan hotel yang lebih perlahan daripada jangkaan, CGSI menurunkan unjuran agihan pendapatan seunit sebanyak 4% bagi FY26 hingga FY28, manakala RHB Research mengurangkan unjuran keuntungan masing-masing sebanyak 4%, 3% dan 3% bagi tempoh sama.
CGSI mengekalkan saranan 'pegang' dengan menurunkan harga sasaran kepada RM8.52 daripada RM8.75, manakala RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran lebih rendah sebanyak RM8.45 berbanding RM8.60 sebelum ini. - DagangNews.com






