Jualan hartanah Sunway kekal di landasan capai sasaran RM4.2 bilion - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 10:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan hartanah Sunway kekal di landasan capai sasaran RM4.2 bilion - Penganalisis Image from: Jualan hartanah Sunway kekal di landasan capai sasaran RM4.2 bilion - Penganalisis hamden26/11/2026 - 10:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov - Sunway Berhad berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan hartanah sebanyak RM4.2 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26), selepas merekodkan jualan terkumpul RM3.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini (9M26), dengan sumbangan utama daripada projek pembangunannya di Singapura.

 

Prestasi itu mencerminkan keupayaan kumpulan mengekalkan momentum jualan hartanah meskipun berdepan persekitaran pasaran yang mencabar, khususnya di Johor apabila kadar pengambilan beberapa projek pembangunan di Iskandar Malaysia masih bergerak perlahan.

 

Menurut RHB Research, kira-kira 60% daripada jumlah jualan 9M26 atau RM2.07 bilion disumbangkan projek di Singapura, terutamanya Pinery Residences di Tampines West.

 

Antara penyumbang jualan lain ialah Sunway Cochrane sebanyak RM484 juta, Serene 2 (RM211 juta) dan Velocity Three (RM155 juta).

 

"Momentum jualan turut menunjukkan peningkatan apabila Sunway merekodkan jualan hartanah RM1.1 bilion pada suku ketiga 2026 (3Q26), berbanding RM900 juta pada suku sebelumnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun RHB Research berkata, prestasi jualan di Iskandar Malaysia masih berdepan cabaran apabila kadar pengambilan Sunway Sakura 2 kekal sekitar 20% sejak awal tahun ini.

 

Sunway Majestic pula mencatatkan kadar jualan 45% berbanding 41% pada 2Q26, manakala Sunway LakeHills di Lenang Heights merekodkan kadar pengambilan 25%, meningkat daripada 20% pada suku sebelumnya.

 

"Momentum jualan yang lebih perlahan di Johor berkemungkinan dipengaruhi penetapan harga projek yang agak tinggi serta persaingan daripada pembangunan hartanah lain di kawasan sekitarnya," katanya.

 

Dari segi kedudukan operasi, jumlah jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM8.2 bilion setakat 3Q26, berbanding RM8.3 bilion pada 2Q26.

 

Sementara itu, buku tempahan pembinaan tertunggak meningkat kepada RM12.45 bilion berbanding RM10.5 bilion pada suku sebelumnya, sekali gus menyediakan asas kepada aktiviti bahagian pembinaan bagi tempoh akan datang.

 

Prestasi kesihatan imbangi pertumbuhan sederhana hartanah dan pembinaan

Dari sudut keputusan kewangan, prestasi Sunway bagi 3Q26 menepati jangkaan penganalisis, dengan keuntungan suku berkenaan disokong terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada bahagian penjagaan kesihatan menerusi Sunway Healthcare (SUNMED).

 

Peningkatan aktiviti pesakit serta perkembangan operasi hospital baharu, termasuk Sunway Medical Centre (SMC) Damansara dan SMC Ipoh, menyokong prestasi bahagian berkenaan.

 

SMC Damansara mencapai titik pulang modal dari segi keuntungan sebelum cukai (PBT) pada Januari 2026, manakala SMC Ipoh dijangka mencapai tahap itu pada awal 2027.

 

Sebaliknya, keuntungan bahagian pembangunan hartanah terjejas akibat pengebilan lebih rendah daripada projek domestik, manakala bahagian pembinaan mencatatkan pertumbuhan lebih sederhana apabila beberapa projek pusat data baharu masih berada pada peringkat awal pembinaan.

 

Walaupun mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28, RHB Research menurunkan harga sasaran Sunway kepada RM5.88 daripada RM6.81, tetapi mengekalkan saranan BELI dengan potensi kenaikan 43% serta hasil dividen kira-kira 2% bagi FY26.

 

Pelarasan itu mengambil kira ketidaktentuan landskap politik domestik yang berterusan serta tekanan daripada persekitaran pasaran global.

 

Sementara itu MBSB Research berkata, mereka mengekalkan unjuran pendapatan Sunway bagi FY26, FY27 dan FY28.

 

Bagaimanapun, firma itu menyemak turun harga sasaran Sunway Berhad kepada RM4.40 daripada RM4.62 berikutan peningkatan diskaun nilai aset bersih disemak (RNAV) bagi bahagian hartanah kepada 40% daripada 30% dalam penilaian jumlah bahagian (SOP), mengambil kira prospek sektor hartanah yang lebih berhati-hati.

 

Katanya, prospek pendapatan Sunway Berhad dijangka kekal stabil, disokong bahagian pembangunan hartanah dan penjagaan kesihatan.

 

"Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap syarikat itu berikutan potensi kenaikan harga saham yang terhad," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved