Jualan kenderaan Malaysia dijangka merosot kepada 780,000 unit tahun ini - CGSI

LocalCars
21 Oct 2026 • 12:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan kenderaan Malaysia dijangka merosot kepada 780,000 unit tahun ini - CGSI Image from: Jualan kenderaan Malaysia dijangka merosot kepada 780,000 unit tahun ini - CGSI liza21/10/2026 - 12:42 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Jualan kenderaan di Malaysia dijangka merosot 5% kepada 780,000 unit pada 2026 apabila prestasi jualan bagi tiga bulan terakhir tahun ini dijangka tidak mencukupi untuk mengubah unjuran tahunan itu, menurut CGS International Securities (CGSI) Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran berkenaan meskipun jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tempoh Januari hingga September 2026 meningkat 4% tahun ke tahun kepada 602,633 unit.

 

Berdasarkan unjuran CGSI, sebanyak 177,367 unit perlu dijual dalam tempoh Oktober hingga Disember untuk mencapai sasaran 780,000 unit bagi keseluruhan tahun ini.

 

Firma itu berkata jualan kenderaan pada September menyusut 4% bulan ke bulan kepada 69,609 unit walaupun meningkat 20% berbanding bulan sama tahun lalu.

 

“Penurunan itu sejajar dengan jangkaan kami mengenai momentum jualan yang lebih perlahan apabila pengguna berkemungkinan menangguhkan pembelian menjelang Belanjawan 2027.

 

“Kami juga berpandangan sebahagian pembelian kenderaan mungkin telah dibuat semasa penganjuran Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) selama 10 hari pada Jun lalu,” kata CGSI dalam nota kajiannya.

 

Perodua dan Proton catat penurunan

Prestasi jualan September dipengaruhi kemerosotan jualan Perodua sebanyak 5% bulan ke bulan, manakala Proton mencatat penurunan lebih besar sebanyak 10%.

 

Sebaliknya, jualan Mazda meningkat 25% bulan ke bulan kepada kira-kira 1,000 unit pada September.

 

Bagi sembilan bulan pertama 2026, pertumbuhan jualan disokong oleh Proton menerusi model e.MAS dan Saga serta pelancaran model yang dikemas kini, selain prestasi Mazda 3 dan Jetour. Kempen promosi serta pengenalan model baharu turut membantu menyokong jualan sepanjang tempoh berkenaan.

 

Subsidi petrol dan EV sokong prospek

Bagi menyokong permintaan dalam tempoh terdekat, CGSI menjangkakan peningkatan kuota subsidi petrol bulanan daripada 200 liter kepada 300 liter, berkuat kuasa 1 September 2026, membantu sentimen pengguna dan pembelian kenderaan.

 

Pada masa sama, bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) bagi tempoh Januari hingga September 2026 kekal pada 8.9%, hampir tidak berubah berbanding 9.0% bagi tempoh Januari hingga Ogos, berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

CGSI mengekalkan penarafan Overweight bagi sektor automotif, dengan Sime Darby Berhad sebagai pilihan utama, disokong permintaan pengguna yang berdaya tahan, penerimaan EV yang berterusan dan pemangkin pendapatan khusus syarikat.

 

Bagaimanapun, permintaan pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan serta persaingan harga yang semakin sengit kekal sebagai risiko yang boleh menjejaskan jumlah jualan kenderaan dan margin keuntungan pemain industri. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved