Jumlah pelancong bermalam rendah sukar tarik hotel antarabangsa beroperasi di Perak

LocalTravel
21 Apr 2026 • 11:53 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jumlah pelancong bermalam rendah sukar tarik hotel antarabangsa beroperasi di Perak
Sze Yee menjawab soalan Chai Yi sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

IPOH – Kerajaan negeri berdepan cabaran menarik kemasukan jenama hotel antarabangsa utama susulan jumlah pelancong yang bermalam di Perak masih rendah.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kebanyakan pelawat ketika ini hanya menjadikan Perak sebagai destinasi persinggahan bukannya lokasi untuk menginap.

Menurutnya, pelancong yang menuju ke utara dari selatan atau sebaliknya lazimnya singgah untuk lawatan harian di beberapa lokasi seperti Teluk Intan, Manjung, Perak Tengah dan Taiping.

"Selepas menghabiskan masa pada waktu siang, mereka akan meneruskan perjalanan dan memilih untuk bermalam di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

"Begitu juga pelancong dari Pulau Pinang yang datang ke Perak sekadar lawatan harian sebelum kembali bermalam di ibu negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.

Sze Yee berkata, corak perjalanan sedemikian menyukarkan usaha menarik pelaburan hotel antarabangsa yang lazimnya bergantung kepada statistik penginapan semalaman yang kukuh.

“Selagi angka pelancong yang bermalam di Ipoh, Taiping dan kawasan lain tidak meningkat, sukar untuk kita meyakinkan jenama hotel antarabangsa untuk melabur.

"Tapi kita telah melihat sekurang-kurangnya sekarang telah naik beberapa yang kita katakan butik hotel. Sebenarnya pelancong tak perlukan hotel lima bintang, enam bintan, tujuh bintang, tapi mereka nak tidur dengan selesa dan bersih," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan dan agensi pelancongan giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan pelancong melanjutkan tempoh penginapan.

Antaranya termasuk menambah penawaran penginapan berkualiti khususnya hotel butik yang dilihat memenuhi keperluan pelancong

Menurutnya, konsep hotel butik sesuai dengan gaya pelancongan masa kini yang lebih tertumpu kepada aktiviti luar berbanding berada di dalam bilik hotel.