IPOH - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani membidas pembangkang yang melabel Perak sebagai negeri gagal kerana merujuk maklumat tidak tepat serta salah tafsir terhadap statistik yang dibentangkan.
Menurutnya, ketika perbahasan, wakil rakyat pembangkang menggunakan data yang tidak tepat atau sumber sahih malah menyimpang jauh daripada fakta sebenar.
"Kerajaan negeri tidak takut kepada sebarang kritikan malah mengalu-alukan tetapi biarlah ia berteraskan fakta yang sahih, fakta yang betul dan fakta yang boleh dipertanggungjawabkan.
"Isunya bukan pada data dan statistik yang digunakan tetapi bagaimana ia ditafsirkan, sama ada ia dilontarkan dengan jujur atau dipilih-pilih untuk menyokong naratif yang akhirnya mengelirukan rakyat di luar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Saarani menjelaskan, berdasarkan data rasmi, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak bagi 2024 adalah sebanyak RM86.2 bilion, sekali gus meletakkan negeri itu di kedudukan keenam tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Katanya, kedudukan tersebut jelas menunjukkan Perak berada dalam kelompok pertengahan atas dan bukannya di kedudukan tercorot seperti didakwa Ketua Pembangkang, Razman Zakaria.
"Bagaimana boleh ada yang menyatakan Perak berada di kedudukan keenam terbawah sedangkan data jelas menunjukkan kita berada di tangga keenam tertinggi?
"Kalau sumbangan 5.2 peratus kepada KDNK negara dianggap gagal, bagaimana pula negeri-negeri lain yang mencatatkan peratusan lebih rendah? Ini tidak adil dan tidak berasas,” katanya.
Beliau turut menegaskan perbandingan antara negeri perlu dibuat secara adil dan mengambil kira faktor struktur ekonomi, kemudahan serta kedudukan geografi bukannya semata-mata angka keseluruhan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan trend KDNK Perak menunjukkan peningkatan konsisten dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19.
**media[3498842]**
Menurutnya, nilai KDNK negeri menurun daripada RM75.9 bilion pada 2019 kepada RM74.26 bilion pada 2020 ketika pandemik sebelum kembali meningkat kepada RM76.9 bilion pada 2021, RM80 bilion (2022), RM82.68 bilion (2023) dan seterusnya RM86.2 bilion pada 2024.
Dalam masa sama, Saarani mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dari segi kadar pertumbuhan ekonomi yang boleh dipertingkatkan lagi.
Namun tegasnya, perkara itu tidak boleh disamakan dengan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri.
"Kalau kita terus melabel negeri ini gagal, ia akan memberi persepsi negatif kepada pelabur dan menjejaskan keyakinan mereka.
"Tetapi jika kita tonjolkan potensi dan usaha yang sedang dilakukan, ia akan memberi gambaran positif serta menarik minat pelabur untuk datang ke Perak,” katanya.
Sehubungan itu, Saarani menyeru semua pihak termasuk pembangkang agar lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan pandangan, khususnya berkaitan data dan statistik supaya tidak mengelirukan rakyat serta menjejaskan imej negeri.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited untuk terus memperkukuh ekonomi melalui pelbagai inisiatif di bawah pelan pembangunan negeri, termasuk usaha beralih daripada ekonomi berasaskan pertanian kepada sektor perindustrian.






