
PETALING JAYA: PETALING JAYA: Pemain perseorangan No.1 negara, Leong Jun Hao mencetuskan kejutan terbesar kempen badminton berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila menewaskan jaguh No.1 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 20-22, 21-12, 21-17 sebentar tadi.
Pada aksi mendebarkan di Gimnasium Perbandaran Bandar Ichinomiya, Jun Hao yang menghuni ranking ke-33 dunia membuktikan dirinya bukan sekadar pelengkap apabila menewaskan Jonatan untuk memberikan mata pertama buat Malaysia.
Kemenangan itu turut mengurangkan defisit rekod pertemuan Jun Hao kepada 3-6 berdepan pemain Indonesia berkenaan selepas kemenangan terakhirnya dicatat pada pusingan kedua Terbuka Singapura tahun lalu.
Jun Hao yang turun sebagai perseorangan pertama kini menghidupkan peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir, dengan Taiwan atau Thailand menanti pada aksi esok sekiranya skuad negara berjaya menamatkan cabaran Indonesia.
Bagaimanapun, misi itu kini terletak di tangan beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang perlu menyumbang mata kedua ketika berdepan gandingan Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dalam aksi kedua.
Selepas itu, perseorangan kedua negara, Justin Hoh pula perlu memastikan Malaysia berada di landasan tepat untuk melengkapkan kemenangan apabila dijadual menentang Alwi Farhan pada aksi ketiga.
Jika keputusan masih belum memihak kepada Malaysia, negara masih mempunyai dua peluang menerusi beregu Aaron Chia-Tee Kai Wun dan perseorangan muda Eogene Ewe untuk memburu mata yang diperlukan bagi menghidupkan harapan ke separuh akhir.
The post Jun Hao ‘smash’ No.1 dunia appeared first on Utusan Malaysia.




