Juruteknik tidak mengaku muat naik video jelik isu projek ladang babi

27 Aug 2026 • 11:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Juruteknik tidak mengaku muat naik video jelik isu projek ladang babi

SEPANG: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran video jelik di aplikasi TikTok.

Tertuduh, Mohamad Norfirdaus Abdul Rahman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat penghantaran komunikasi video berdurasi empat minit yang jelik berkaitan projek ladang babi pada 12 Januari lalu, kira-kira pukul 4.11 pagi menerusi aplikasi TikTok menggunakan akaun miliknya, “nowad.acc4”.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya, mengugut atau mengganggu orang lain.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Azmir Mohd. Razali, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, peguam, ‘Azi ‘Azlin Zulkifli yang mewakili tertuduh, merayu agar mahkamah menetapkan jumlah jaminan lebih rendah kerana anak guamnya perlu menyara kedua-dua ibu bapanya.

“Tertuduh merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang di Banting dengan pendapatan RM3,000 dan perlu menyara kedua-dua ibu bapa yang uzur di kampung,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. Mohamad Norfirdaus membayar jaminan tersebut. – UTUSAN

The post Juruteknik tidak mengaku muat naik video jelik isu projek ladang babi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved