
UPKO menggesa Perjanjian Petronas 1976 dikaji semula sekiranya perjanjian itu tidak dibincangkan atau diluluskan oleh Kabinet Sabah.
“PDA 1976” merujuk kepada perjanjian peletakhakan petroleum yang dimeterai antara Petronas dan kerajaan negeri di Malaysia Timur, khususnya Sabah dan Sarawak, susulan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), yang memberikan Petronas hak milik serta kawalan eksklusif terhadap sumber minyak dan gas negeri sebagai pertukaran royalti tunai sebanyak lima peratus.
Presiden Upko Datuk Ewon Benedick berkata parti itu memandang serius pendedahan bekas Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada Jun bahawa perjanjian yang ditandatangani pada 1976 itu tidak pernah dibentang atau dibincangkan dalam Kabinet Sabah.
Beliau berkata seorang lagi bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh, yang mengakui kenyataan Pairin itu, memberikan gambaran bahawa minyak dan gas berada di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Parlimen yang meluluskan Akta Kemajuan Petroleum 1974, sekali gus mencadangkan perkara itu tidak perlu dibincangkan oleh Kabinet Sabah.
“Upko dan saya amat tidak bersetuju dengan kenyataan sedemikian dan menolak hujah (Harris) berhubung perkara penting ini kerana pendirian parti ialah apa-apa perkara yang memberi kesan besar kepada Sabah mesti mendapat kelulusan dan persetujuan Kerajaan Sabah.
“Jika benar Perjanjian Petronas itu tidak dibincangkan atau tidak mendapat kelulusan Kerajaan Sabah, maka Upko menuntut supaya Perjanjian Petronas dikaji semula,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Upko Ke-17 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, di sini, Isnin.
Ewon berkata parti itu akan mengemukakan usul pada persidangan berkenaan supaya Kerajaan Persekutuan mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri atau Yang Dipertua Negeri Sabah sebelum sebarang cadangan undang-undang dibentangkan di Parlimen, khususnya yang memberi kesan besar kepada Sabah.
Mengenai hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri itu, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III berkata Upko mahu hak penuh berkenaan dilaksanakan.
“Bayaran interim hanyalah langkah sementara. Ia tidak sepatutnya berterusan tanpa had. Interim bermaksud sementara,” katanya.
Ewon turut menolak konflik atau peperangan di negara lain sebagai alasan untuk menangguhkan pembayaran penuh 40 peratus itu, dengan berkata rakyat Sabah dan perniagaan yang beroperasi di negeri ini terus membayar cukai, manakala hasil terus dikutip.
Beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan mekanisme seperti yang digunakan pada awal 1960-an ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Malaysia.
“Di bawah pengaturan itu, 40 peratus hasil Persekutuan yang dikutip di Sabah akan dikekalkan di negeri ini dan disalurkan terus kepada Kerajaan Sabah, manakala baki 60 peratus dimasukkan ke akaun Kerajaan Persekutuan.
“Terma mekanisme itu boleh dibincangkan. Jika Singapura boleh melaksanakannya ketika masih menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, saya tidak nampak mengapa ia sukar untuk dilaksanakan,” katanya.
Ewon berkata perkara itu akan dibahaskan perwakilan Upko dan sekiranya diluluskan, beliau akan membawa mandat berkenaan kepada Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Sabah.
Pada persidangan tritahunan itu, beliau berkata enam usul utama akan dibentangkan.
“Yang pertama berkaitan pindaan perlembagaan parti bagi menambah baik tadbir urus dan memperkukuh institusi Upko, manakala yang kedua berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan yang ketiga menuntut pelaksanaan sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain Memelihara Hak dan Kuasa Sabah serta Menjunjung Perlembagaan Sabah.
“Usul keempat ialah Memperkukuh Tadbir Urus di bawah Kerajaan Semasa melalui Pendekatan Sabah First, manakala usul kelima adalah untuk memperkukuh Program Pengurusan Tanah Adat Anak Negeri Sabah melalui Peruntukan Khas dan Tabung Pembangunan Tanah Sabah.
“Usul keenam dan terakhir ialah mengenai Pembangunan Sumber Tenaga Baharu, Hijau dan Mampan serta Usaha Peralihan Tenaga Sabah bagi memastikan bekalan elektrik mampan dan kos tenaga yang kompetitif,” katanya.






