Mahkamah arah Zamil, Mukhlis bayar RM483,000 kepada Ustaz Husam

LocalPolitics
26 Aug 2026 • 6:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mahkamah arah Zamil, Mukhlis bayar RM483,000 kepada Ustaz Husam
Ahmad Husam bersama peguamnya.

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Datuk Zamil Ibrahim dan bekas pegawai Datuk Seri Najib Razak, Mukhlis Maghribi membayar RM483,000 kepada pendakwah bebas, Ahmad Husam Baderudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam.

Perintah itu dibuat selepas mahkamah membenarkan keseluruhan tuntutan Ahmad Husam dalam saman terhadap kedua-dua individu berkenaan berkaitan dakwaan ugutan dan fitnah.

Peguam Ahmad Husam, Muhammad Asyraf Abd Aziz daripada firma Zain Megat & Murad mengesahkan keputusan itu yang diputuskan Hakim, Datuk Mohd Aimi Zaini dalam prosiding pada Rabu.

Menurutnya, mahkamah mendapati wujud unsur ugutan dan fitnah terhadap anak guamnya.

“Mahkamah mengarahkan Zamil dan Mukhlis membayar ganti rugi serta kos berjumlah RM483,000.

“Mereka juga diarahkan menarik balik hantaran di media sosial yang didakwa memfitnah Ustaz Husam sebelum ini.

“Dalam tempoh 14 hari, mereka perlu memohon maaf kepada Ustaz Husam,” katanya.

Sebelum ini, Zamil dan Mukhlis didakwa terbabit dalam konspirasi untuk mendapatkan sejumlah wang secara salah selain melakukan perbuatan fitnah terhadap Ahmad Husam.

Sementara itu, Ahmad Husam berkata, perjalanan mendapatkan keadilan menerusi kes berkenaan bukan sesuatu yang mudah, namun beliau percaya kebenaran akhirnya akan terserlah.

“Saya percaya bahawa kebenaran mungkin mengambil masa untuk terserlah, tetapi dengan izin ALLAH SWT, kebenaran tetap akan menemukan jalannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga, sahabat serta semua pihak yang memberikan doa, sokongan dan kata-kata semangat sepanjang melalui proses perundangan berkenaan.

Ahmad Husam turut menzahirkan penghargaan kepada Muhammad Asyraf atas usaha dan komitmen dalam mengendalikan kes tersebut.

“Saya menerima keputusan ini dengan penuh rasa syukur dan rendah hati.

“Semoga ALLAH SWT menjadikan segala ujian, kesabaran dan kepayahan yang telah dilalui sebagai asbab kepada kebaikan yang lebih besar, serta memberikan keadilan kepada setiap insan yang dizalimi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved