'Kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah' - Abdul Hadi

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 11:44 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah' - Abdul Hadi
​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

​MARANG - Pas yakin proses rundingan serta pembentukan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah lebih mudah berbanding situasi yang dihadapi pada PRN Johor sebelum ini.

​Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada maklum balas serta respons positif yang diterima di peringkat akar umbi selain mengambil kira senario politik semasa negara.

​"Insya-ALLAH, boleh... Kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Rabu lalu, media melaporkan Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk mengadakan perbincangan bersama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.

​Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara berkenaan akan diputuskan bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abd Rauf Yusoh.

​Mengulas mengenai perbincangan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), Abdul Hadi menjelaskan proses perundingan masih berjalan menerusi wakil yang dilantik.

​Menurutnya, wujud kecenderungan positif dalam BN sendiri yang memperlihatkan sebahagian besar kepimpinan serta akar umbi menyokong usaha penyatuan berkenaan.

​"Kita masih bincang. Wakil kita bincang dengan PN. Dalam BN pun berbelah bahagi dan saya kira majoriti bersetuju (kerjasama) dengan PN. Ketua Pemuda dan peringkat akar umbi pun setuju," ujarnya.

​Ditanya mengenai pendirian Pas sekiranya BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), beliau enggan mengulas lanjut memandangkan tiada sebarang keputusan rasmi dimuktamadkan setakat ini.

​"Itu nanti berlaku dululah. Bila tak berlaku lagi, saya dah kata nanti dulu. Sekarang ini tak ada keputusan lagi, masih tengok dan masih bincang," katanya.

​Dalam pada itu, Ahli Parlimen Marang berkenaan turut menyelar tindakan kepimpinan kerajaan PH yang disifatkannya kurang matang dalam mengendalikan isu diplomasi antarabangsa, khususnya berhubung ketegangan antara China dan Taiwan.

​Beliau menyamakan pendekatan yang diambil PH seolah-olah mengikut rentak provokasi bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang disifatkan boleh memalukan imej negara di persada dunia.

​"Jangan campur negeri orang, itu hak dialah. Ini buat kenyataan sama dengan Trump... belajar dengan Trump, provokasi orang. Memalukan," katanya lagi.

​Sebelum itu, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil pada sidang media Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menyambut baik keterbukaan BN berhubung agihan kerusi untuk PRN Melaka Ke-16.

Pada 8 Ogos lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu sentiasa membuka ruang rundingan agihan mahupun pertukaran kerusi, atas prinsip saling menghormati kerusi yang dimenangi mana-mana parti secara jujur dan ikhlas.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved