
MARANG: Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN) percaya proses rundingan dan pembentukan kerjasama politik atas nama perpaduan ummah dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, lebih mudah berbanding situasi yang dihadapi pada PRN Johor.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, sehingga kini wakil kedua-dua buah gabungan itu masih dalam perbincangan dan beliau difahamkan BN masih berbelah bahagi, namun majoriti termasuk Ketua Pemudanya serta akar umbi bersetuju mengadakan kerjasama dengan PN.
Selain itu kata beliau, keyakinan itu bersandarkan kepada maklum balas serta respons positif selepas keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan selain mengambil kira senario politik semasa negara.
“Insya-Allah boleh. Kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah,” katanya selepas menyampaikan kulah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Beliau ditanya perkembangan rundingan antara PN dan BN termasuk sama ada agenda perpaduan Melayu yang dibawa Pas boleh diterjemah dalam PRN Melaka.
Ditanya mengenai pendirian Pas sekiranya BN memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan tiada sebarang keputusan rasmi dimuktamadkan setakat ini.
”Itu nanti berlaku dululah. Benda tidak berlaku lagi, saya tidak boleh katalah. Nanti dulu. Sehingga hari ini belum ada keputusan,” katanya.
Ditanya apakah Pas ada strategi lain jika kerjasama dengan BN tidak berjalan seperti dirancang, beliau berkata:
“Ada, nanti kita fikirlah.” – UTUSAN
The post Kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah – Presiden Pas appeared first on Utusan Malaysia.






