PRN Melaka: Jika BN pilih PH, PAS ada ‘plan B’ – Abdul Hadi

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 4:34 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

PAS mempunyai beberapa alternatif bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Barisan Nasional (BN) memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Menurut laporan Berita Harian, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, rundingan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN masih berlangsung khususnya berkaitan bentuk kerjasama yang bakal dibentuk bagi menghadapi PRN berkenaan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai perkara itu meskipun majoriti pimpinan BN dikatakan bersetuju supaya kerjasama dengan PN diteruskan.

“PAS yang menerajui gabungan PN mempunyai alternatif jika BN memilih untuk bekerjasama dengan PH pada PRN Melaka.
“Kita dimaklumkan pimpinan BN masih bercelaru dan berada dalam keadaan berbelah bagi walaupun majoriti pimpinan parti itu bersetuju kerjasama dengan PN diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, Marang hari ini ketika ditanya mengenai pendirian PAS dan PN sekiranya BN memilih untuk bersama PH pada PRN Melaka.

Image from: PRN Melaka: Jika BN pilih PH, PAS ada ‘plan B’ – Abdul Hadi

Foto arkib: Malay Mail

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mengibaratkan BN sebagai ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan beberapa gabungan parti untuk bekerjasama dalam menghadapi PRN Melaka.

Ab Rauf dilaporkan berkata, beberapa pihak dijangka menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ BN dalam tempoh terdekat sebelum gabungan itu ‘berkahwin secara sah’.

Mengulas perkara itu, Abdul Hadi berkata, rundingan antara PN dan BN masih diteruskan dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas proses tersebut selesai.

“Kita tunggu keputusan hasil perbincangan kerjasama, tetapi PAS dan PN mempunyai beberapa strategi dan hala tuju serta alternatif bagi memperkukuh perpaduan serta kedudukan politik Melayu dan Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrim.
“PAS yakin proses rundingan serta pembentukan kerjasama politik menjelang PRN Melaka adalah lebih mudah berbanding situasi dihadapi pada PRN Johor pada 11 Julai lalu,” ujarnya.

Beliau berkata keyakinan itu turut dipengaruhi maklum balas positif yang diterima daripada akar umbi, selain perkembangan dan senario politik semasa negara.

“Situasi pada PRN Johor lebih rumit, tetapi laluan dan keadaan di Melaka lebih mudah,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Baharom Bakar)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved