Kalimah Allah Di Tokong Cetus Persoalan, EXCO Minta Siasatan Segera

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 10:24 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Penemuan kalimah Allah dalam tulisan Jawi pada sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu–Pantai Siring mencetuskan kebimbangan apabila dikhuatiri boleh menimbulkan sensitiviti agama.

Sekumpulan pemancing temui tokong tersebut

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, perkara itu dikesan sekumpulan pemancing sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa, dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman turut bergegas ke lokasi sekitar jam 11 malam.

image is not available

Kredit: Malaysia Gazette

Berada di tanah milik persendirian

Hasil pemeriksaan mendapati tokong binaan batu berwarna merah itu menghadap pantai dan terletak berhampiran tanah berpagar milik persendirian, selain dipercayai telah dibina sejak dua hingga tiga tahun lalu.

Walau bagaimanapun, kewujudan tulisan kalimah ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan Jawi hanya dikesan pada malam kejadian.

“Isu sensitif seperti ini boleh menimbulkan salah faham antara kaum dan agama.

“Justeru saya meminta polis menjalankan kawalan sementara sehingga tindakan lanjut diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian malam tadi.

image is not available

Susulan itu, satu perbincangan segera diadakan melibatkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), polis serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi meneliti langkah seterusnya.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan akan berhubung dengan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk menyemak aspek penguatkuasaan sekiranya pembinaan tokong tersebut tidak mendapat kelulusan.

“Pemilik tanah juga akan dipanggil untuk melihat sendiri di lokasi berkenaan, selain meneliti sama ada kawasan itu membabitkan rizab pantai atau sebaliknya.

“Sekiranya ia berada dalam kawasan rizab, sebarang pembinaan tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

image is not available

Beliau menegaskan siasatan terperinci akan diteruskan oleh JAIM dan polis bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.

Tinjauan di lokasi turut mendapati lebih 30 penduduk berkumpul, selain terdapat kalimah Allah berwarna putih pada tembok tanah persendirian dan lebih 10 tulisan sama pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran.

Sementara itu, Zaidi menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sumber: Malaysia Gazette (Reza A Hamid)

The post Kalimah Allah Di Tokong Cetus Persoalan, EXCO Minta Siasatan Segera appeared first on Borak Daily.