‘Kami keluar dewan kerana Menteri Agama hanya sekadar baca teks penerangan’ : Wan Saiful

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 1:29 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: ‘Kami keluar dewan kerana Menteri Agama hanya sekadar baca teks penerangan’ : Wan Saiful

KUALA LUMPUR - Pembangkang memutuskan untuk keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) kerana Menteri Agama hanya sekadar teks penerangan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, lebih melucukan apabila status laporan RCI ‘diturunkan’ menjadi sekadar ‘penerangan menteri’ sahaja, tanpa ada sebarang usul, undian, mahupun keputusan rasmi yang boleh dibuat selepas perbahasan.

“​Pagi tadi, saya bersama pimpinan dan rakan-rakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) hadir ke Parlimen untuk Sidang Khas isu RCI Tabung Haji. Kami sudah bersedia dengan teks dan hujah-hujah untuk berbahas.

“Ini isu besar. Isu wang simpanan jutaan umat Islam dan maruah institusi terkait agama yang sebelum ini menjadi model untuk dunia.

“Tugasan di dewan pula diserahkan kepada Menteri Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan untuk hanya sekadar baca teks penerangan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahli-ahli Parlimen pembangkang membuat kejutan apabila bertindak keluar dewan (walkout) dan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) di Dewan Rakyat, pagi ini.

Tindakan drastik itu diambil selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan sebelum itu membangkitkan Peraturan Mesyuarat 13 bagi memohon supaya sidang khas itu ditangguhkan atas alasan ketidakhadiran Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam, Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri, Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah mengesahkan Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).

Berikutan itu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri memohon maaf kerana tidak dapat hadir ke sidang khas tersebut dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.

Bagaimanapun tindakan pembangkang keluar Dewan mendapat perhatian Perdana Menteri yang menyifatkan ada pihak yang masih mahu bermain drama politik sedangkan umat Islam telah dikhianati.

“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya, atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji,’’ tegas Anwar.

Mengulas lanjut, Wan Saiful mendakwa ia merupakan politik Madani dan bukan untuk menjaga kepentingan umat yang menabung di Tabung Haji.

Beliau mempersoalkan kenapa Laporan RCI yang siap dari Julai 2022 dan masuk Kabinet Disember 2022 tidak dibawa ke Parlimen dan mendakwa ia disorok selama tiga tahun tujuh bulan hanya untuk diakhiri dengan drama membaca teks di dewan.

“Atas dasar itu, seluruh Ahli Parlimen PN mengambil keputusan untuk keluar dari dewan.

“Kami tidak mahu menjadi sebahagian daripada drama politik Madani yang langsung tidak memberi nilai mahupun jawapan tuntas kepada rakyat dan pendeposit Tabung Haji,’’ katanya. - 11 Ogos, 2026

The post ‘Kami keluar dewan kerana Menteri Agama hanya sekadar baca teks penerangan’ : Wan Saiful appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved