
OSNABRUCK: Sentuhan berbisa Harry Kane memastikan Bayern Munich bermula sempurna dalam aksi pembukaan Piala Jerman apabila meledak dua gol ketika membenam kelab divisyen dua, Osnabruck 4-1, semalam.
Dalam aksi di gelanggang lawan itu, Tom Bischof dan Michael Olise turut mencatat nama sebagai penjaring ketika Bayern bangkit selepas ketinggalan awal menerusi jaringan Robin Meissner buat pasukan tuan rumah.
“Bukan mudah bermain di tempat lawan dengan suasana yang begitu hebat. Mereka memulakan perlawanan dengan jaringan menakjubkan dan kami perlu kekal tenang untuk bangkit.
“Saya gembira kami berjaya memperoleh kemenangan dalam aksi pertama ini, semua pemain memainkan peranan masing-masing, sekali gus memudahkan jentera serangan untuk menjaringkan gol,” kata Kane.
Kapten England itu kini mengumpul 148 gol dalam 150 penampilan di semua pertandingan bersama Bayern sejak menyertai kelab gergasi Jerman itu dari kelab zaman kanak-kanaknya, Tottenham Hotspur pada 2023.
Meissner membuatkan penyokong tuan rumah mengimpikan kejutan apabila meledak rembatan cantik dari luar kotak penalti, hanya selepas lima minit permainan.
Bayern, juara Piala Jerman sebanyak 21 kali dan kali terakhir tersingkir seawal pusingan pertama pada tahun 1994, pantas menyamakan kedudukan apabila Kane menyambar bola muntah.
Bischof kemudian menambah gol kedua dengan cara hampir sama enam minit selepas itu untuk meletakkan Bayern di kedudukan selesa.
Olise menjaringkan gol ketiga pada minit ke-73 sebelum Kane menyempurnakan sepakan penalti ketika permainan berbaki empat minit untuk melengkapkan kemenangan.
Sementara itu pada Selasa, Borussia Dortmund menewaskan kelab amatur divisyen lima, HEBC dengan keputusan 5-0 di Hamburg.-AGENSI
The post Kane terus cemerlang bersama Bayern appeared first on Utusan Malaysia.





