
Persiapan untuk kepulangan Formula 1 ke Malaysia nampaknya semakin rancak apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini menerima taklimat berkaitan perkembangan serta persediaan penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Sesi taklimat tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari.
Menurut KBS, taklimat memberi fokus kepada perkembangan semasa serta persiapan menjelang perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026.
KBS turut memberi penekanan kepada aspek kesiapsiagaan fasiliti, kelancaran penganjuran serta pengalaman terbaik untuk penonton dan pengunjung yang bakal hadir ke Sepang.
Perkembangan ini hadir ketika perhatian peminat semakin tertumpu kepada pengumuman tiket Formula 1 di Sepang, selepas maklumat harga tiket sebelum ini sempat muncul di laman rasmi Bahrain Grand Prix sebelum dipadamkan.
Dengan persiapan kini berada pada tahap yang semakin dekat dengan perlumbaan, timbul persoalan sama ada pihak SIC dan KBS sedang memuktamadkan beberapa perkara terakhir sebelum pengumuman rasmi berkaitan tiket dan butiran penganjuran dibuat.
Buat masa ini, KBS tidak mendedahkan sebarang tarikh untuk pengumuman tiket atau harga rasmi.
Namun, dengan sesi taklimat peringkat kementerian bersama pihak pengurusan SIC yang berlangsung hari ini, peminat mungkin tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan perkembangan seterusnya.
Apa yang pasti, 2 hingga 4 Oktober 2026 bakal menjadi tarikh penting apabila deruman Formula 1 kembali bergema di Sepang selepas hampir sedekad.
Adakah pengumuman besar daripada Sepang semakin hampir? Kita tunggu.
The post KBS Terima Taklimat Persiapan F1 Sepang, Adakah Pengumuman Semakin Hampir? appeared first on TW Media.






