Kebakaran ‘Chew Jetty’: Peniaga Rugi Besar

LocalBusiness & Finance
5 Sep 2026 • 9:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

GEORGE TOWN - Beberapa peniaga di Chew Jetty di sini terpaksa menanggung kerugian besar selepas premis perniagaan mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Pengusaha kedai cat kereta, Hong Jing Lian, 60, berkata keseluruhan barangan di premisnya musnah dalam kebakaran yang dipercayai bermula dari sebuah premis lain sebelum merebak dengan pantas.

Hong yang menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan sejak 1997 berkata, kebakaran berlaku selepas jam 1 pagi dan turut memusnahkan tiga kenderaan pelanggan yang dihantar untuk kerja mengecat.

“Semua terbakar termasuk cat dan thinner. Api mudah merebak kerana terdapat banyak bahan mudah terbakar di dalam kedai.

“Saya sudah melaburkan banyak wang dalam perniagaan ini selama hampir 30 tahun. Saya menganggarkan kerugian kira-kira RM1 juta termasuk tiga kenderaan iaitu Suzuki Swift, Mercedes-Benz C-Class dan BMW,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hong berkata, dia mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi seorang rakan sebelum bergegas ke premis berkenaan dari rumahnya di Farlim.

Image from: Kebakaran ‘Chew Jetty’: Peniaga Rugi Besar

Sementara itu, pengusaha percetakan baju-T, Toh Aik Aun, 50, turut mengalami kerugian selepas premis perniagaannya yang beroperasi di lokasi itu hampir 30 tahun, terjejas teruk.

Toh berkata, dia menerima panggilan memaklumkan mengenai kebakaran pada jam 1.08 pagi.

“Segalanya terbakar. Beratus-ratus helai baju-T yang belum dihantar kepada pelanggan turut musnah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menilai keseluruhan kerugian terlebih dahulu sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Punca kebakaran dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

Chew Jetty yang terletak di pesisir George Town merupakan jeti kaum Cina terbesar dan antara yang tertua di Pulau Pinang.

Penempatan yang dibina di atas tiang kayu di atas laut itu bermula sejak abad ke-19 dan diasaskan oleh masyarakat Cina dari wilayah Fujian, China, yang menggunakan nama keluarga Chew.

Chew Jetty yang didiami beberapa generasi masyarakat Cina itu turut terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng, turut membantu mangsa yang terjejas akibat kebakaran.

Kejadian itu dipercayai tidak menjejaskan nilai tarikan pelancongan di kawasan berkenaan. - Getaran, 5 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved