hamden12/08/2026 - 18:10 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) meneruskan momentum pertumbuhan yang berdaya tahan pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), dipacu terutamanya prestasi kukuh segmen peruncitan, selain sumbangan lebih baik daripada hotel dan aset perindustrian.
Bagi 2QFY26, hasil Sunway REIT meningkat 4.2% kepada RM220.3 juta berbanding RM211.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan operasi bersih (NPI) meningkat 5.2% kepada RM163 juta daripada RM154.9 juta.
Prestasi itu meneruskan trend positif yang dicatatkan pada suku pertama apabila hasil meningkat 2% kepada RM223 juta dan NPI naik 5% kepada RM164.4 juta.
Bagi tempoh enam bulan pertama FY26 (1HFY26), Sunway REIT mencatatkan hasil RM443.4 juta dan NPI RM327.4 juta, mencerminkan kekuatan berterusan portfolio asetnya.
Pengagihan seunit (DPU) turut meningkat 10.6%, dibantu kos kewangan lebih rendah susulan pengurangan jumlah pinjaman serta kadar faedah purata yang lebih rendah.
Peruncitan Pemacu Utama
Segmen peruncitan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan Sunway REIT apabila hasil meningkat 11% kepada RM177.1 juta pada 2QFY26 daripada RM160 juta setahun sebelumnya.
Pertumbuhan itu disokong pembukaan semula sepenuhnya sayap sedia ada Sunway Carnival Mall pada Mei 2025, prestasi lebih kukuh Sunway Pyramid Mall serta tambahan pendapatan sewaan daripada AEON Mall Seri Manjung susulan pemerolehannya pada Julai 2025.
NPI segmen berkenaan meningkat 14% kepada RM130.4 juta daripada RM114.1 juta pada 2QFY25.
Sunway REIT menjangkakan momentum peruncitan kekal positif, disokong tahap penghunian yang sihat, peningkatan kadar sewaan positif serta sumbangan setahun penuh daripada AEON Mall Seri Manjung dan Sunway Carnival Mall yang telah dinaik taraf.
Segmen Hotel turut mencatatkan peningkatan apabila hasil naik 8% kepada RM18.1 juta daripada RM16.7 juta pada 2QFY25. NPI segmen meningkat 9% kepada RM17 juta daripada RM15.6 juta.
Bagi separuh kedua FY26, prospek segmen Hotel dilihat menggalakkan berikutan pemangkin seperti Tahun Melawat Malaysia 2026, Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2026 dan peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa.
Segmen Pejabat pula mencatatkan hasil tidak berubah pada RM20.4 juta, manakala NPI susut sedikit 1% kepada RM12.1 juta daripada RM12.2 juta.
Segmen Perindustrian & Lain-lain pula mencatatkan hasil meningkat 5% kepada RM4.7 juta, manakala NPI melonjak 12% kepada RM3.6 juta, disokong kadar penghunian lebih tinggi di Sunway REIT Industrial – Petaling Jaya 1.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway REIT Management Sdn. Bhd., Derek Teh Wan Wei, berkata prestasi 2QFY26 mencerminkan daya tahan dan kepelbagaian portfolio Sunway REIT.
Menurutnya, Sunway REIT kekal yakin terhadap trajektori pertumbuhannya, disokong kekuatan dan kepelbagaian portfolio.
Beliau berkata, sekiranya tiada keadaan luar jangka, asas positif berkenaan dijangka terus menyokong pertumbuhan pendapatan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang kepada pemegang unit. - DagangNews.com






