amree01/09/2026 - 17:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Sept — Kee Ming Group Berhad mengukuhkan prospek hasil selepas anak syarikatnya, Kee Ming Electrical Sdn Bhd (KME) menerima dua surat penganugerahan (LOA) berjumlah RM40 juta bagi melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E).
Kontrak berkenaan melibatkan dua projek industri berasingan masing-masing di Kawasan Perindustrian Valdor, Pulau Pinang, dan Taman Perdagangan Elmina, Selangor, sekali gus memperluas penglibatan kumpulan dalam projek berkaitan kemudahan industri dan gudang.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu menerima dua LOA tersebut daripada kontraktor pihak ketiga yang terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pembekalan serta pemasangan struktur keluli, selain kerja-kerja kejuruteraan awam dan pembinaan bangunan.
"Di bawah LOA 1 bernilai RM21 juta, KME melaksanakan kerja membekal, menghantar, memasang, menguji, mentauliah dan menyelenggara sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal (ACMV), sistem perlindungan kebakaran, perkhidmatan elektrik, telefon serta extra-low voltage (ELV) dan sistem pengurusan bangunan bagi sebuah gudang di Valdor," jelas Kee Ming.
Projek tersebut ujar kumpulan itu, dijangka siap pada suku pertama 2027, manakala tempoh liabiliti kecacatan ditetapkan selama 24 bulan dari tarikh pengeluaran Sijil Siap Praktikal (CPC).
Sementara itu tambahnya, LOA 2 yang bernilai RM19 juta pula merangkumi pelbagai kerja perkhidmatan elektrik, sistem perlindungan kebakaran dan sistem ACMV bagi pembangunan sebuah gudang di Elmina.
Tender kedua itu kata Kee Ming, dijangka dapat disiapkan menjelang suku kedua 2027, dengan skop kerja akhir atau kerja yang dilaksanakan berkenaan tertakluk kepada arahan pengurus projek.

"Secara keseluruhan, skop kerja KME turut merangkumi pembekalan tenaga kerja, jentera, peralatan dan perkakas, selain kerja-kerja berkaitan infrastruktur dalam sempadan projek, lampu jalan serta sistem akses kad, mengikut keperluan setiap projek," ujarnya.
Kedua-dua kontrak tersebut dilaksanakan secara harga tetap sekali gus dengan kerja-kerja berkenaan tertakluk kepada jumlah pegangan bersamaan 10% daripada nilai kerja yang sudah dilaksanakan, sehingga maksimum 5% daripada nilai setiap kontrak.
Kee Ming berkata, penerimaan kedua-dua LOA itu dijangka memberi sumbangan positif kepada hasil, pendapatan sesaham dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 serta sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Pada masa sama jelasnya, kumpulan berkenaan menyatakan risiko utama projek adalah hanya berkaitan dengan operasi, termasuk risiko pelaksanaan, kelewatan projek dan gangguan rantaian bekalan.
"Bagaimanapun, lembaga pengarah berkeyakinan KME mempunyai kepakaran, pengalaman serta sumber yang diperlukan untuk melaksanakan projek berkenaan dengan baik," tambahnya lagi.
Penerimaan kedua-dua LOA itu tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan atau pegangan pemegang saham utama Kee Ming, manakala transaksi tersebut juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan dan kawal selia. - DagangNews.com






