amree01/09/2026 - 09:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Sept — Pelabur asing terus menjual ekuiti di Bursa Malaysia untuk minggu keempat berturut-turut, dengan mencatatkan aliran keluar bersih RM366.0 juta, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, jualan yang paling tinggi dicatatkan pada Jumaat iaitu mencecah sebanyak RM238.7 juta, diikuti Khamis (RM140.5 juta) dan Isnin (RM81,.1 juta).
Sementara itu, hanya Rabu mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing iaitu kira-kira RM94.4 juta, manakala dagangan pada Selasa ditutup berikutan cuti umum bersempena Maulidur Rasul.
"Tiga sektor utama mencatatkan belian bersih asing terbesar iaitu pengangkutan dan logistik (RM129.5 juta), penjagaan kesihatan (RM74.0 juta) serta hartanah (RM129.5 juta)," tambahnya.
Tiga sektor pula ujarnya, menyaksikan aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM245.5 juta), pembinaan (RM92.4 juta) serta telekomunikasi dan media (RM86.3 juta).
MBSB Research dalam nota analisis tersebut menambah, institusi tempatan masih lagi meneruskan aktiviti pembelian bersih sebanyak RM200.5 juta untuk tempoh minggu kelima berturut-turut.
Pada masa yang sama jelasnya, pelabur runcit tempatan pula kembali mencatatkan rentak aliran masuk bersih selepas seminggu menjadi penjual, dengan jumlah pembelian sebanyak RM165.5 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) katanya, adalah meningkat dengan peruncit tempatan, dan institusi naik masing-masing 11.6% dan 14.3%, manakala institusi asing bertambah 96.5%. - DagangNews.com





