ALOR SETAR - Kejohanan Bot Laju Dunia Kedah 2026 dijangka menarik perhatian kira-kira 5,000 pengunjung dan 10 pasukan termasuk pelumba luar negara menyertai temasya berkenaan, bermula 5 November depan.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, selain Malaysia, kejohanan ini bakal disertai pasukan dari United Kingdom, Hong Kong, New Zealand, Finland, Itali, China, Australia, Singapura dan Thailand.
Menurutnya, setakat ini 10 pasukan tersebut mengesahkan penyertaan dalam kejohanan yang akan berlangsung di Sungai Kedah, berhampiran Ibu pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Ampang Jajar, di sini.
"Kita memiliki sungai yang indah dan ini merupakan sebahagian daripada usaha memanfaatkannya bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri, kita sentiasa berusaha menonjolkan potensi baharu bagi memperhebatkan sektor pelancongan yang boleh mendatangkan manfaat serta limpahan ekonomi kepada rakyat," katanya kepada media di Muzium Negeri Kedah di sini pada Khamis.
Jelas beliau, kejohanan yang berlangsung pada 5 hingga 7 November depan, bakal mencatat sejarah tersendiri apabila julung kalinya, sebuah kejohanan bot laju bertaraf dunia dianjurkan di sini.
Mohd Salleh berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperhebatkan lagi sektor pelancongan Kedah sekali gus tarikan baharu kepada pengunjung.
Sementara itu, Presiden Sukan Bot Laju Malaysia, Ezzat Mohd Tahir berkata, perlumbaan di Kedah bakal menampilkan caraban lebih unik dan teknikal memandangkan kali pertama dianjurkan di kawasan sungai.
"Faktor ini juga berjaya menarik kehadiran pasukan dan pelumba dari luar kerana kejohanan bot laju bertaraf dunia biasanya dianjurkan di muara, tasik atau laut.
"Disebabkan itu, kali ini cabarannya dianggap berbeza dan tarikan utama. Buat mereka yang belum pernah menyaksikannya, ini peluang terbaik. Saya harap kejohanan kali ini akan meninggalkan impak besar kepada negeri Kedah dan boleh dijadikan sebagai acara tahunan," katanya.





