Kelantan fokus empat lokasi panas perlombongan emas haram

LocalEnvironment
3 Jun 2026 • 1:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan fokus empat lokasi panas perlombongan emas haram
Gua Musang antar lokasi diberi perhatian berhubung perlombongan emas haram di Kelantan. - Gambar fail

KOTA BHARU - Kelantan memberi tumpuan kepada empat lokasi di sekitar Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai yang menjadi tumpuan aktiviti perlombongan emas secara haram.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia melibatkan Lojing, Aring di Gua Musang manakala selebihnya di sekitar Jeli serta Kuala Krai.

"Kami menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa tidak tegas dalam mengawal aktiviti perlombongan emas haram di negeri ini.

"Penguatkuasaan sentiasa dijalankan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 45 buah jengkaut yang digunakan dalam aktiviti perlombongan haram sudah dirampas hasil operasi dan serbuan yang dijalankan.

Ujarnya, kerajaan negeri turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan berkenaan selain memastikan aktiviti perlombongan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan," katanya.

Sebelum itu Sinar Harian pada 21 Mei lalu melaporkan dua lelaki maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai melombong emas tanpa lesen di kawasan ladang sawit Kampung Jerimbong, Kuala Balah di Jeli.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kedua-dua mangsa, Mohamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32, dipercayai sedang menjalankan kerja perlombongan emas secara haram sebelum timbunan tanah runtuh lalu menimbus mereka.