Kelantan sasar pelancong kesihatan Indonesia dan Thailand, KPJ Perdana jadi pemangkin

LocalHealth & Fitness
4 Jun 2026 • 2:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan sasar pelancong kesihatan Indonesia dan Thailand, KPJ Perdana jadi pemangkin
Mohd Nassuruddin (kiri) bersama Ismail (dua,kanan) melihat replika bangunan baharu semasa Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana di Kota Bharu pada Khamis. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: Kelantan sasar pelancong kesihatan Indonesia dan Thailand, KPJ Perdana jadi pemangkin
Mohd Nassuruddin (empat dari kanan) bersama Ismail (tiga dari kiri) menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana di Kota Bharu pada Khamis. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Kelantan mengorak langkah lebih agresif untuk muncul sebagai hab pelancongan kesihatan serantau apabila pembangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana dijangka menjadi pemangkin utama menarik kemasukan pesakit dan pelancong dari luar negara, khususnya Indonesia dan Thailand.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pembangunan kemudahan kesihatan moden itu selari dengan usaha kerajaan negeri memperkukuh agenda pelancongan kesihatan sebagai antara sektor pertumbuhan baharu yang mampu menjana ekonomi negeri.

Menurut beliau, potensi sektor kesihatan turut diketengahkan secara aktif dalam siri promosi pelaburan dan pelancongan Kelantan di Jakarta baru-baru ini.

"Kerajaan negeri telah mempromosikan pelbagai potensi Kelantan termasuk sektor kesihatan, hospitaliti, pelancongan mesra keluarga serta kos rawatan yang kompetitif.

"Kewujudan kemudahan kesihata**media[3540098]**n yang moden, lengkap dan berdaya saing seperti Hospital Pakar KPJ Perdana akan menjadi pemangkin penting dalam menarik lebih ramai pelancong kesihatan dari luar negara, khususnya dari Indonesia dan negara-negara serantau," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pembangunan Bangunan Baharu Hospital Pakar KPJ Perdana di sini yang turut dihadiri Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Dr Ismail Bakar.

**media[3540098]**

Mohd Nassuruddin memberitahu, perkembangan itu bukan sahaja mampu meningkatkan imej Kelantan sebagai destinasi perkhidmatan kesihatan berkualiti, malah memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor lain.

Menurut beliau, sektor pengangkutan, penginapan, makanan, peruncitan dan industri sokongan lain dijangka menerima manfaat daripada pertambahan kehadiran pelancong kesihatan ke negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkukuh pembangunan sektor kesihatan demi kesejahteraan rakyat.

"Saya percaya kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan pemain industri kesihatan akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti, mampan dan berdaya saing," katanya.

Tambah beliau, pembangunan sektor kesihatan perlu sentiasa meletakkan kesejahteraan insan sebagai matlamat utama agar setiap kemajuan yang dicapai benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Ujarnya, pendekatan itu selaras dengan aspirasi Penghayatan Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Ismail memberitahu, bangunan baharu Hospital Pakar KPJ Perdana itu dijangka menggandakan kapasiti katil daripada 150 kepada 300 buah menjelang tahun 2030.

"Projek yang kini dalam proses kelulusan itu dijangka bermula tahun ini dan turut melibatkan penambahan tiga bilik pembedahan baharu menjadikan keseluruhannya enam bilik bedah.

"Pembangunan tersebut dibuat susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di hospital berkenaan yang kini mencatat kadar penggunaan katil sekitar 80 peratus," katanya.

Beliau berkata, bangunan baharu itu turut menempatkan pusat onkologi lengkap, 320 petak parkir tambahan serta dijangka memperkukuh sektor pelancongan kesihatan Kelantan termasuk menarik pesakit dari Indonesia dan selatan Thailand.