johardy07/10/2026 - 13:30 Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt - Kelemahan pengurusan kontraktor menjadi punca 77% daripada 33 “projek sakit” Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat 30 September lalu, termasuk perancangan lemah, kekurangan tenaga kerja serta kelemahan mengurus jentera dan bekalan bahan binaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, 33 projek itu adalah sebahagian daripada 875 projek JKR yang sedang dalam peringkat pembinaan, melibatkan nilai kontrak keseluruhan RM40.7 bilion.
“Berdasarkan analisis terhadap 33 projek sakit tersebut, 77% berpunca daripada kelemahan pengurusan kontraktor,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah perancangan dan penyelarasan yang tidak berkesan di tapak pembinaan, tenaga kerja tidak mencukupi serta kelemahan dalam pengurusan jentera dan bekalan bahan binaan.
Angka itu menunjukkan kelemahan pengurusan kontraktor merupakan faktor utama yang menyebabkan projek terbabit dikategorikan sebagai projek sakit.
JKR kurangkan projek sakit daripada 45 kepada 33
Ahmad berkata, pemantauan rapi dan langkah pemulihan berterusan yang dilaksanakan JKR bersama kontraktor berjaya mengurangkan jumlah projek sakit kepada 33 daripada 45 sebelum ini.
Sebanyak 33 projek itu mewakili 3.77% daripada keseluruhan 875 projek JKR yang kini berada pada peringkat pembinaan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang bertanya sama ada Kementerian Kerja Raya bercadang mengetatkan syarat pemilihan kontraktor dan penilaian prestasi berikutan sebahagian besar projek sakit dikaitkan dengan kelemahan pengurusan kontraktor serta masalah kewangan.
Mohd Suhaimi turut bertanya mengenai mekanisme baharu yang akan diperkenalkan bagi mengelakkan kelewatan projek kerajaan daripada berulang. - DagangNews.com






