Kelindan maut, pemandu cedera parah nahas dua lori di LPT2

26 Sep 2026 • 8:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelindan maut, pemandu cedera parah nahas dua lori di LPT2
Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari lori terbabit. Foto hiasan

CHUKAI - Seorang kelindan maut manakala pemandu cedera parah dalam nahas membabitkan dua lori di Kilometer 328.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), arah Kuala Terengganu dekat Kerteh di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kemalangan pada jam 5.30 pagi itu menyebabkan Mohd Nurarif Kassim, 27, dari Bukit Rambai, Melaka meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tercampak keluar dari lori terbabit.

"Kemalangan berlaku apabila lori jenis Hino dipandu di lorong kiri dipercayai melanggar bahagian belakang lori jenis Nissan yang bergerak di lorong sama.

"Akibat perlanggaran itu, lori Hino berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemandu lori Hino Mohammad Izzuan Kemi, 32, kini dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Dungun manakala pemandu serta kelindan lori Nissan tidak mengalami kecederaan.

Kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved