amree27/08/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos — Kenaikan ketara harga telur di Malaysia dijangka menjadi pemangkin utama mengembalikan pertumbuhan pendapatan QL Resources Berhad pada FY27, kata RHB Research.
Firma berkenaan menambah, selain itu pemulihan kukuh perniagaan pembuatan produk marin (MPM) turut membantu kumpulan tersebut berdepan cabaran prestasi tidak sekata dalam beberapa segmen perniagaan.
Prestasi syarikat dilihat semakin bernilai dalam persekitaran pasaran tidak menentu, dan potensi kemasukan semulanya ke dalam indeks FBM KLCI boleh menjadi pemangkin kepada penilaian semula saham.
"Justeru kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap QL Resources dan harga sasaran (TP) kepada RM4.50 daripada RM3.94, dengan potensi kenaikan 13% serta hasil dividen 1% bagi FY27," jelas RHB Research.
Keputusan suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) dianggap sejajar jangkaan dengan keuntungan bersih teras berjumlah RM101 juta, dan menyumbang 22% daripada unjuran keuntungan penuh firma itu.
Hasil suku juga naik 8% kepada RM1.9 bilion, dipacu pertumbuhan segmen MPM menerusi peningkatan jumlah jualan dan harga purata jualan (ASP) tepung ikan, serta perniagaan ternakan bersepadu (ILF).
Keuntungan sebelum cukai (PBT) QL Resources ujar RHB Research, meningkat 3% kepada RM151 juta, dengan keuntungan segmen MPM melonjak 52% dan mengimbangi prestasi lebih lemah beberapa segmen.

"Prestasi MPM disokong pendaratan ikan yang lebih banyak akibat keadaan cuaca baik, pengurangan bekalan tepung ikan dari Peru serta permintaan stabil terhadap produk berasaskan surimi," katanya.
Pemulihan MPM dijangka berterusan, dengan momentum pertumbuhan semakin kukuh menjelang musim puncak pada suku kedua dan ketiga FY27, berikutan dinamik pasaran tepung ikan yang kekal menggalakkan.
Segmen ILF juga ujar RHB Research, dijangka mencatat prestasi baik apabila harga telur naik susulan keseimbangan penawaran dan permintaan, selain membantu QL Resources menampung kenaikan kos dedak.
Pada masa sama, kelemahan hasil perniagaan kedai serbaneka dijangka semakin sederhana berikutan kesan asas yang lebih rendah dan langkah proaktif kumpulan meningkatkan kecekapan operasi.
"Prospek segmen perladangan, minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) kekal positif disokong harga minyak sawit mentah (MSM) kukuh dan buku tempahan sihat anak syarikat, BM Greentech," jelasnya.
Sehubungan itu, RHB Research menaikkan unjuran pendapatan QL Resources bagi FY27 hingga FY29 antara 2% dan 3%, dengan prestasi lebih baik MPM mengimbangi kelemahan pelbagai segmen yang lain.
Bagaimanapun ia mengingatkan risiko utama yang perlu dipantau pelabur termasuk gangguan besar rantaian bekalan serta kenaikan mendadak kos pengeluaran dan operasi. - DagangNews.com






