Margin pemprosesan koko lebih baik pacu keuntungan Guan Chong ke paras tertinggi dalam sejarah dengan kenaikan 573% - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 11:25 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Margin pemprosesan koko lebih baik pacu keuntungan Guan Chong ke paras tertinggi dalam sejarah dengan kenaikan 573% - Penganalisis Image from: Margin pemprosesan koko lebih baik pacu keuntungan Guan Chong ke paras tertinggi dalam sejarah dengan kenaikan 573% - Penganalisis liza19/11/2026 - 11:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Margin pemprosesan koko yang lebih baik mendorong keuntungan bersih Guan Chong Berhad melonjak 573.2% kepada RM277.7 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), sekali gus mencatatkan rekod keuntungan suku tahunan tertinggi syarikat itu.

 

RHB Research berkata prestasi itu dicapai meskipun hasil kumpulan merosot 38.1% kepada RM2.31 bilion berbanding RM3.73 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, susulan penurunan harga jualan purata (ASP) bagi produk koko ketika harga biji koko kembali turun ke paras biasa.

 

Menurut firma penyelidikan itu, peningkatan keuntungan didorong nisbah gabungan yang lebih baik hasil strategi jualan hadapan, pengurusan kedudukan inventori serta keuntungan ketara daripada aktiviti lindung nilai dan pelarasan kepada nilai pasaran.

 

“Faktor itu membantu Guan Chong mengurangkan kesan turun naik harga biji koko dan harga jualan produk, selain mengimbangi ketidakpadanan masa antara penghantaran produk dengan kedudukan lindung nilai,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Margin lebih baik, kos pembiayaan rendah

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), keuntungan teras kumpulan meningkat lebih 3.5 kali ganda kepada RM654.2 juta berbanding RM184 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pula meningkat 75.1% kepada RM998.7 juta, manakala margin EBITDA berkembang kepada 14.8% berbanding 4.8% sebelumnya.

 

Bagi suku ketiga sahaja, EBITDA meningkat 148.8% kepada RM386.2 juta, manakala margin EBITDA berkembang kepada 16.7% berbanding 4.2% pada 3QFY25. EBITDA bagi setiap tan produk turut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM4,983 berbanding RM2,303.

 

RHB Research berkata, pertumbuhan keuntungan turut disokong penurunan kos pembiayaan sebanyak hampir 40% kepada RM157.3 juta bagi 9MFY26 berbanding RM261.4 juta setahun sebelumnya, susulan keperluan modal kerja dan harga biji koko yang lebih rendah.

 

“Kadar cukai efektif yang lebih rendah turut membantu prestasi keuntungan, sebahagiannya disebabkan kesan asas tinggi daripada peruntukan cukai tambahan di bawah Cukai Minimum Global pada tahun sebelumnya serta peningkatan keuntungan yang dijana anak syarikat di Singapura.

 

Permintaan koko pulih, prospek kekal positif

“Dari segi operasi, kadar penggunaan kapasiti pengeluaran Guan Chong meningkat kepada kira-kira 88% seiring pemulihan permintaan bagi aktiviti pengisaran koko,” katanya.

 

Kumpulan turut merekodkan aliran tunai operasi sebanyak RM1.17 bilion bagi 9MFY26, manakala nisbah penggearan bersih bertambah baik kepada 0.83 kali berbanding 0.93 kali sebelum ini.

 

Bagi prospek, RHB Research menjangkakan pemulihan permintaan pengisaran koko, kadar penggunaan kapasiti lebih tinggi dan nisbah gabungan yang lebih sihat akan terus menyokong prestasi keuntungan kumpulan.

 

Firma itu turut menyatakan harga biji koko yang lebih rendah dan keperluan modal kerja yang berkurangan dijangka memberi sokongan tambahan. Pengurusan Guan Chong juga telah menyusun kedudukan inventori lebih awal bagi mendapatkan bekalan biji koko pada harga yang menguntungkan serta melaksanakan strategi lindung nilai menjelang kemungkinan fenomena El Niño yang kuat.

 

Walaupun nisbah harga mentega koko kekal rendah, nisbah harga serbuk koko yang lebih tinggi dijangka mengimbangi sebahagian tekanan dan menyokong margin pengisaran keseluruhan.

 

Pertumbuhan pada FY27 turut dijangka menerima sumbangan penuh daripada pengembangan Fasa 2 kemudahan pengeluaran kumpulan di Ivory Coast yang siap ditauliahkan sepenuhnya pada suku keempat 2026.

 

RHB Research naikkan harga sasaran kepada RM2.30

Susulan prestasi lebih baik daripada jangkaan, RHB Research menaikkan unjuran keuntungan bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 29%, 14% dan 12%.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Guan Chong, selain menaikkan harga sasaran kepada RM2.30 daripada RM2 sebelum ini, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 12 kali bagi FY27.

 

Harga sasaran baharu itu menawarkan potensi kenaikan kira-kira 70% berbanding harga saham RM1.35 ketika laporan berkenaan diterbitkan, selain anggaran hasil dividen sekitar 4% bagi FY27.

 

Guan Chong turut mengisytiharkan dividen interim keempat sebanyak dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan setakat ini bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 7.5 sen sesaham.

 

Bagaimanapun, RHB Research menyenaraikan beberapa risiko utama termasuk turun naik ketara harga bahan mentah, kelemahan permintaan produk koko serta risiko pelaksanaan dan operasi di negara tempat kumpulan mengembangkan perniagaannya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved