amree08/10/2026 - 11:56 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt — Setiap kenaikan gaji minimum sebanyak RM100 berpotensi mengurangkan keuntungan syarikat dalam sektor pengguna antara 0.1% hingga 2.7%, ketika pemain industri tersebut perlu berdepan peningkatan kos operasi, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata kesan peningkatan gaji minimum dijangka berbeza mengikut syarikat, dengan pemain yang lebih intensif buruh berdepan tekanan kos tinggi tetapi pada masa sama akan mendapat manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pengguna.
Ujarnya, kuasa beli isi rumah ketika ini masih mempunyai sokongan melalui bantuan fiskal bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain kemungkinan pertumbuhan pendapatan susulan pertambahan upah berkenaan.
"Bagaimanapun, syarikat sektor pengguna pula kini dilihat beroperasi dalam persekitaran kos yang kurang menggalakkan dengan kos buruh, tarif elektrik, caj pengangkutan dan pelbagai input tertentu terus meningkat," jelas Kenanga dalam nota analisisnya.
Tekanan itu boleh menjadi lebih ketara bagi syarikat yang mempunyai ruang terhad untuk memindahkan kenaikan kos kepada pengguna, terutama dalam kalangan pengguna sensitif terhadap perubahan harga, sekali gus berpotensi mengecilkan margin keuntungan.
Menurut firma penyelidikan berkenaan, sektor pengguna turut berdepan satu lagi cabaran sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) kembali dinormalisasikan, dengan menjangkakan kemungkinan berlaku kenaikan sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2027.

Berdasarkan sejarah ujar Kenanga, sentimen pengguna dan harga saham sektor berkenaan pernah melemah selepas dua daripada tiga kitaran kenaikan OPR terdahulu, menunjukkan risiko kadar faedah masih perlu diberi perhatian oleh pelabur sektor tersebut.
"Dalam keadaan itu, kami melihat syarikat yang mampu mengambil manfaat daripada permintaan pengguna akan kekal berdaya tahan tanpa menanggung sebarang tekanan kos secara tidak seimbang dan dijangka tetap mampu berada pada kedudukan lebih baik," tambahnya.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, firma tersebut mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor pengguna, dengan sebahagian kebimbangan dilihat semakin tercermin dalam penilaian saham susulan kelemahan harga saham syarikat terbabit baru-baru ini.
Sehubungan itu Kenanga berkata, tumpuan perlu diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai permintaan defensif, pendedahan kos secara terkawal serta keterlihatan pendapatan lebih baik sekiranya kenaikan gaji minimum tersebut dilaksanakan kelak.
Ia turut memilih QL Resources Berhad sebagai pilihan utama sektor dengan penarafan 'outperform' dan harga sasaran (TP) RM4.40 sesaham, berdasarkan prospek permintaan yang lebih berdaya tahan serta keupayaan mengurus tekanan kos tinggi. - DagangNews.com






