Kenapa bacaan IPU, AQI berbeza? Ini penjelasannya

Environment
15 Oct 2026 • 10:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kenapa bacaan IPU, AQI berbeza? Ini penjelasannya

PETALING JAYA – Perbezaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi dengan Air Quality Index (AQI) yang dipaparkan menerusi aplikasi telefon atau alat pengesan persendirian tidak semestinya menunjukkan satu daripadanya salah.

Seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai warga Jabatan Alam Sekitar (JAS), @Zazuraini_jaja menerusi perkongsian di Threads menjelaskan bahawa kedua-dua bacaan tersebut mempunyai kaedah pengiraan serta tujuan penggunaan yang berbeza.

Menurutnya, antara persoalan yang sering diterima ketika musim jerebu ialah mengapa bacaan IPU rasmi di portal kerajaan berbeza dengan bacaan AQI atau aplikasi seperti IQAir.

“Faktor pertama melibatkan tempoh masa pengiraan apabila IPU Malaysia menggunakan purata bergerak dalam tempoh tertentu termasuk bacaan yang lebih stabil, manakala sesetengah paparan AQI pula menggunakan data yang lebih hampir kepada keadaan semasa.

“Keadaan itu menyebabkan bacaan AQI boleh berubah dengan lebih pantas apabila berlaku perubahan kualiti udara dalam tempoh singkat,” katanya.

Wanita itu turut berkata faktor kedua pula melibatkan formula serta piawaian yang digunakan khususnya bagi zarah halus PM2.5 yang menjadi antara petunjuk utama pencemaran udara ketika jerebu.

Menurutnya, piawaian AQI yang digunakan sesetengah platform, antaranya berasaskan standard Amerika Syarikat, boleh menghasilkan kategori atau bacaan yang berbeza berbanding IPU Malaysia walaupun kepekatan pencemar yang diukur adalah sama.

“Selain itu, perbezaan juga boleh berlaku disebabkan sumber data dan lokasi stesen pencerapan.

“Bacaan IPU JAS diperoleh melalui stesen pencerapan rasmi kerajaan yang dikalibrasi mengikut spesifikasi tertentu, manakala sesetengah platform AQI menggabungkan data daripada stesen kerajaan, sensor swasta atau persendirian serta sumber lain,” katanya.

Katanya sensor tempatan juga boleh mengesan peningkatan pencemaran di kawasan tertentu dengan lebih cepat, terutama jika terdapat sumber pencemaran berhampiran.

Terdahulu, beberapa pengguna media sosial mempersoalkan perbezaan bacaan kualiti udara yang dipaparkan menerusi alat pengesan persendirian dengan bacaan IPU rasmi kerajaan.

Antaranya, seorang pengguna Threads berkongsi paparan alat pengesan kualiti udara yang merekodkan bacaan AQI antara 222 hingga 246 pada malam tadi, sekali gus berada pada kategori sangat tidak sihat berdasarkan paparan alat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

The post Kenapa bacaan IPU, AQI berbeza? Ini penjelasannya appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved