
TAWAU: Kontinjen ragbi Keningau beraksi cemerlang untuk mempertahankan pingat emas ragbi pada Saga XI.
Kategori lelaki menyaksikan Keningau menewaskan Kota Kinabalu 12-7 manakala pingat gangsa dimenangi oleh Nabawan selepas menewaskan Kinabatangan 14-5.
Bagi kategori wanita, Keningau mudah menumpaskan Kinabatangan 28-7 manakala Penampang membelasah Lahad Datu 29-0 bagi merebut gangsa.
Selain itu, atlet dari Keningau, Kelvin Aaron Mac Leonar dan Fetrunilla John turut diberikan anugerah pemain terbaik masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita.
Penyampaian hadiah diadakan di Padang Ragbi Kompleks Sukan Tawau, pada Selasa.
Sementara itu, Papar terus membuktikan kehebatan dalam arena sepak takraw apabila berjaya mengungguli kedua-dua kategori double lelaki dan wanita pada.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Vision School Tawau pada petang Selasa, menyaksikan saingan sengit antara pasukan terbaik dari seluruh daerah.
Dalam acara double wanita, Papar menewaskan Beluran 15–11, 15–13 sekali gus menghadiahkan emas kepada daerah berkenaan, manakala gangsa dikongsi Kalabakan dan Nabawan.
Sementara itu, dalam acara double lelaki, Papar terus gah apabila menundukkan Kuala Penyu dalam pertarungan tiga set 15–10, 13–15, 15–10, sekaligus merangkul emas kedua. Semporna dan Beluran masing-masing membawa pulang gangsa.
Kemenangan berganda itu menobatkan Papar sebagai kuasa dominan dalam acara sepak takraw.
Majlis penyampaian pingat disempurnakan oleh Pengarah Pertandingan Sepak Takraw Saga 2025 merangkap Presiden Astaka Negeri Sabah, Datuk Roslie Ibrahim.
Dalam pada itu, pelumba Kota Belud dan Kota Kinabalu meraih emas acara pecut 200m berbasikal dalam kategori lelaki dan wanita.
Pertandingan sengit di Jalan Pesisir Pantai Tawau itu berakhir lewat petang Selasa dan memperlihatkan kehadiran penyokong memberikan sorakan padu kepada pelumba-pelumba daerah yang bertanding.
Bagi kategori lelaki, Muhammad Nur Irfan Roslan dari Kota Belud menamatkan saingan dengan kayuhan pantas untuk meraih emas, menewaskan Mohammad Aris Tam Zi Jian dari Lahad Datu yang membawa pulang perak, manakala Randdy Fodinan Dablle dari Kota Kinabalu meraih gangsa.
Dalam kategori wanita, Shannon Liaw Xiao Xuan dari Kota Kinabalu memperagakan aksi cemerlang untuk memastikan kemenangan bergaya buat pasukannya.
Farisha Nur Umaira Zairi dari Keningau memperoleh perak, sementara Restyfiona Rizal dari Nabawan membawa pulang gangsa.
Kejayaan ini menambah koleksi pingat buat kedua-dua daerah sekaligus menonjolkan potensi besar atlet muda Sabah dalam sukan berbasikal secara kompetitif.

