Keperluan modal kerja, pelaburan naikkan pinjaman SAM 86% kepada RM505 juta

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 5:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Keperluan modal kerja, pelaburan naikkan pinjaman SAM 86% kepada RM505 juta Image from: Keperluan modal kerja, pelaburan naikkan pinjaman SAM 86% kepada RM505 juta liza26/11/2026 - 17:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – Jumlah pinjaman bank SAM Engineering & Equipment (M) Berhad (SAM) meningkat hampir dua kali ganda kepada RM505.29 juta setakat 30 September 2026 berbanding RM271.46 juta pada 31 Mac 2026 susulan peningkatan penggunaan kemudahan perbankan bagi membiayai keperluan modal kerja serta pembelian hartanah, loji dan peralatan.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mencatat aliran keluar tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM150.22 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026, berbanding aliran masuk tunai RM108.47 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan pinjaman itu berlaku ketika SAM merekodkan pertumbuhan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 41.8% kepada RM38.67 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2027 (6MFY27), berbanding RM27.27 juta sebelumnya.

 

Hasil kumpulan turut meningkat 36.9% kepada RM1.003 bilion daripada RM732.61 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 32.5% kepada RM49.24 juta berbanding RM37.15 juta.

 

Permintaan semikonduktor pacu prestasi

Bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (2QFY27), PAT meningkat kepada RM25.64 juta berbanding RM11.07 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil suku kedua turut meningkat kepada RM578.57 juta daripada RM363.01 juta, manakala PBT naik kepada RM30.60 juta berbanding RM15.72 juta sebelumnya.

 

Menurut kumpulan itu, peningkatan hasil bagi suku kedua didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen Equipment dan Aerospace masing-masing sebanyak RM130.6 juta dan RM23.9 juta berbanding suku sebelumnya.

 

Peningkatan segmen Equipment disokong permintaan lebih tinggi daripada pelanggan dalam industri semikonduktor dan penyimpanan data, manakala segmen Aerospace mendapat manfaat daripada peningkatan jualan produk casing.

 

Segmen aeroangkasa masih mencatat kerugian

Bagi tempoh enam bulan pertama FY27, segmen Equipment merekodkan hasil RM734.05 juta dengan keuntungan sebelum cukai RM68.92 juta.

 

Sebaliknya, segmen Aerospace mencatat hasil RM268.59 juta tetapi mengalami kerugian sebelum cukai RM19.68 juta.

 

Menurut SAM, kerugian segmen Aerospace meningkat berikutan kos peralihan lebih tinggi susulan pemindahan operasi pengeluaran casing dari Singapura ke Thailand, selain peningkatan kos operasi dan pergerakan mata wang asing yang tidak memihak kepada kumpulan.

 

Bagi tempoh sama, aliran keluar tunai operasi turut dipengaruhi peningkatan penghutang perdagangan dan lain-lain sebanyak RM137.11 juta serta inventori sebanyak RM199.02 juta.

 

Kekal positif terhadap prospek industri

Mengulas prospek semasa, SAM kekal positif terhadap perkembangan industri aeroangkasa serta peralatan semikonduktor walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

 

Kumpulan itu berkata, permintaan terhadap peralatan fabrikasi cip global bersaiz 300 milimeter dijangka meningkat 31% kepada AS$149 bilion pada 2026, didorong pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI), penyimpanan data dan pasaran memori.

 

Dalam industri aeroangkasa pula, kumpulan itu menjangkakan jumlah tempahan pesawat yang tinggi serta usaha pengeluar peralatan asal (OEM) meningkatkan sasaran penghantaran pesawat akan terus menyokong permintaan dalam rantaian bekalan industri berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved