Sunsuria rancang guna RM140 juta hasil jualan tanah di Dengkil kepada Amazon untuk kurangkan hutang

LocalBusiness & Finance
26 Nov 2026 • 3:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sunsuria rancang guna RM140 juta hasil jualan tanah di Dengkil kepada Amazon untuk kurangkan hutang Image from: Sunsuria rancang guna RM140 juta hasil jualan tanah di Dengkil kepada Amazon untuk kurangkan hutang liza26/11/2026 - 15:48 Gambar Great Sign Advertising Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov – Sunsuria Berhad memperuntukkan RM140.14 juta daripada hasil penjualan tanah kepada Amazon Data Services Malaysia Sdn Bhd bernilai RM316.84 juta bagi membayar sebahagian pinjaman bank, sekali gus menjimatkan kos faedah kira-kira RM7.11 juta setahun.

 

Dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 26 November 2026, kumpulan pemaju hartanah itu berkata, peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada rancangan penggunaan hasil pelupusan tanah seluas 183,973 meter persegi di Dengkil, Sepang, Selangor.

 

Sunsuria menjangkakan pembayaran balik pinjaman itu dapat mengurangkan beban kewangan kumpulan, berdasarkan kadar faedah purata wajaran kemudahan perbankan berkaitan sebanyak 5.08% setahun.

 

Setakat tarikh praktikal terakhir pada 16 November 2026, kumpulan mempunyai pinjaman tertunggak kira-kira RM629.31 juta.

 

RM124.69 juta untuk kerja infrastruktur

Selain pembayaran balik pinjaman, Sunsuria memperuntukkan RM124.69 juta bagi membiayai anggaran kos pembangunan tanah berkenaan dan kawasan sekitarnya.

 

Daripada jumlah itu, RM79.31 juta diperuntukkan untuk kos pembangunan tanah yang dijual kepada Amazon, manakala RM45.38 juta lagi bagi pembangunan tanah sekitar.

 

Peruntukan tersebut akan digunakan untuk menyiapkan kerja infrastruktur termasuk kemudahan utiliti, jalan raya, sistem perparitan, telekomunikasi dan landskap bagi menghubungkan tanah berkenaan dengan kawasan sekitarnya.

 

Syarikat itu menjelaskan bahawa tanggungjawab pembangunan yang dipersetujui hanya melibatkan kerja infrastruktur berkenaan dan Sunsuria tidak terlibat dalam pembinaan atau pembangunan pusat data di atas tanah tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sunsuria jual tanah di Sepang kepada Amazon Data Services pada harga RM316.84 juta

 

Baki hasil untuk modal kerja dan perbelanjaan

Sementara itu, sebanyak RM44.17 juta diperuntukkan bagi keperluan modal kerja kumpulan, termasuk anggaran pembayaran cukai berkaitan pelupusan serta perbelanjaan operasi dan pentadbiran am.

 

Sebanyak RM7.84 juta lagi digunakan untuk menampung anggaran perbelanjaan berkaitan transaksi pelupusan, termasuk fi profesional, fi kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, kos percetakan dan pengedaran pekeliling kepada pemegang saham.

 

Secara keseluruhan, hasil jualan tanah berjumlah RM316.84 juta itu akan digunakan dalam tempoh antara tiga hingga 36 bulan selepas tarikh penyelesaian transaksi, bergantung kepada tujuan peruntukan masing-masing.

 

Nisbah hutang kepada ekuiti dijangka turun kepada 0.54 kali

Dari segi kedudukan kewangan, Sunsuria menganggarkan nisbah hutang kepada ekuiti kumpulan akan berkurangan daripada 0.69 kali kepada 0.54 kali selepas mengambil kira pembayaran balik pinjaman RM140.14 juta dan keuntungan bersih pelupusan kira-kira RM50.34 juta.

 

Aset bersih sesaham kumpulan juga dijangka meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.26, manakala perolehan sesaham (EPS) secara pro forma dianggarkan meningkat daripada 4.13 sen kepada 9.75 sen.

 

Sunsuria menjangkakan cadangan pelupusan itu dapat memperbaiki kedudukan kewangan kumpulan, meningkatkan aliran tunai dan menyediakan fleksibiliti kewangan untuk membiayai operasi perniagaan serta keperluan modal kerja.

 

Cadangan penjualan tanah itu masih tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan pada 21 Disember 2026, selain kelulusan dan pengesahan pihak berkuasa berkaitan.

 

Sekiranya semua syarat dan kelulusan diperoleh tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, transaksi itu dijangka selesai pada suku kedua 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved