IPOH – Kerajaan negeri Perak menetapkan hanya kira-kira tiga peratus daripada keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini digunakan bagi pembangunan ladang hutan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaksanaan Zon Pembangunan Ladang Hutan (ZPLH) di Perak dihadkan berbanding kelulusan asal 100,000 hektar yang dipersetujui melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-68 pada tahun 2012.
Menurutnya, pendekatan tersebut diambil bagi memastikan pembangunan ladang hutan dilaksanakan secara terkawal, berfasa serta mengambil kira aspek pemantauan dan impak terhadap alam sekitar.
"Kerajaan negeri Perak telah menetapkan pelaksanaan sebenar ZPLH di negeri Perak hanya melibatkan keluasan seluas 32,375 hektar, iaitu bersamaan kira-kira 3 peratus daripada keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini.
"Kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menambah keluasan baharu bagi ZPLH. Segala pelaksanaan tertakluk kepada had yang telah ditetapkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu) sempena Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Saarani menjelaskan, sehingga 31 Disember 2025, daripada jumlah keluasan yang ditetapkan, hanya berbaki 809 hektar yang belum diberikan kelulusan.
Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 31,566 hektar telah diluluskan bagi pembangunan ladang hutan, dengan 8,810 hektar telah dibangunkan.
Katanya, daripada jumlah itu, 8,184 hektar telah ditanam manakala 626 hektar masih dalam proses penanaman.
Jelas beliau, bagaimanapun, masih terdapat 22,756 hektar kawasan yang belum dibangunkan.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri telah mengenal pasti 10 spesies pokok sesuai bagi pembangunan ladang hutan berdasarkan kesesuaian tapak, kadar pertumbuhan serta permintaan pasaran.
Antara spesies tersebut termasuk batai, getah klon balak, khaya, jati, kelampayan, binuang, sentang, eucalyptus, karas dan jelutong.
Menurutnya, ketika ini tiga spesies utama yang mendominasi penanaman ialah getah klon balak (45 peratus), eucalyptus (32 peratus) dan batai (20 peratus).
"Keutamaan semasa diberikan kepada spesies eucalyptus kerana kadar tumbesaran yang cepat, tempoh matang singkat antara lapan hingga 10 tahun serta kos penyelenggaraan yang lebih rendah.
"Ia juga sesuai ditanam di kawasan marginal seperti tanah berbukit dan berupaya menghasilkan sekitar 150 meter padu kayu bagi setiap hektar untuk satu pusingan tuaian," katanya.
Tambah beliau, pembangunan ladang hutan dilihat sebagai alternatif berdaya maju berbanding tanaman kelapa sawit khususnya di kawasan kurang subur, selain mampu menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar serta menyokong industri hiliran berasaskan kayu.






