
PETALING JAYA: Kerajaan digesa memastikan semua firma perunding kejuruteraan mematuhi Skala Fi Kejuruteraan serta penyeragaman struktur kontrak bagi kerja-kerja berkaitan.
Pengerusi Persatuan Jurutera Perunding Bumiputera Malaysia (PJPBM), Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh berkata, Skala Fi Kejuruteraan juga perlu digunakan semula secara mandatori bagi memastikan persaingan dalam industri perkhidmatan jurutera perunding berlaku secara adil, sihat dan profesional.
Katanya, persaingan mendapatkan projek tidak seharusnya dilakukan melalui penawaran fi yang terlalu rendah sehingga mengorbankan kualiti perkhidmatan dan kebajikan jurutera.
“Penawaran fi terlalu rendah dan tidak munasabah perlu dihentikan bagi memastikan kualiti, integriti profesional serta kelangsungan industri perkhidmatan jurutera perunding terus terpelihara.
“Usaha mempertahankan Skala Fi mesti bermula daripada firma perunding sendiri. Jika firma terus berlumba-lumba menawarkan harga tidak munasabah semata-mata untuk memenangi tender, industri ini tidak boleh menyalahkan pihak lain apabila kualiti perkhidmatan, kebajikan jurutera dan daya tahan firma semakin terhakis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wan Nazari berkata, PJPBM turut mengemukakan beberapa usul penting kepada kerajaan bagi memperkukuh integriti, kualiti dan kemampanan industri perkhidmatan jurutera perunding dalam Sesi Libat Urus Dialog Industri dan Belanjawan 2027 anjuran Kementerian Kerja Raya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.
“Selain pematuhan Skala Fi Kejuruteraan dan penyeragaman struktur kontrak, kami turut mencadangkan pewajipan Insurans Indemniti Profesional (Professional Indemnity Insurance), selain penambahbaikan serta peningkatan ketelusan dalam proses tender perkhidmatan perunding.
“Selain itu, kami mencadangkan penerapan teknologi masa hadapan seperti Building Information Modelling (BIM) dan penggunaan dron,” katanya.
Wan Nazari dalam masa yang sama turut mencadangkan penyediaan geran program pembangunan keupayaan (ECP) bagi pelaksanaan BIM serta insentif cukai bagi menggalakkan pendigitalan dalam kalangan pemain industri. – UTUSAN
The post Kerajaan digesa wajibkan semula Skala Fi Kejuruteraan appeared first on Utusan Malaysia.






