Kerajaan Madani tidak pernah lulus lesen judi baharu - MOF

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan Madani tidak pernah lulus lesen judi baharu - MOF
MOF) MOF dalam kenyataan pada Khamis menegaskan, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa kekal berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an.

PUTRAJAYA – Kerajaan Madani tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu, termasuk menambah bilangan premis perjudian di seluruh negara.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Khamis menegaskan, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa kekal berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an.

Menurut MOF, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaporkan media memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Madani tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di Kedah.

“Sebaliknya sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi Pas, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada,” katanya.

Ujar MOF, berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 2020 memutuskan untuk menurunkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.

“Kemudian, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada 2020 telah memutuskan untuk meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas 22 kali setahun,” jelasnya.

Menurut kementerian itu, selepas Kerajaan Madani mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, antara keputusan terawal dibuat adalah membatalkan peningkatan berkenaan.

Jelasnya, kekerapan cabutan khas kemudian diturunkan semula daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023.

Terdahulu, Sanusi dilaporkan berkata kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk menghalang aktiviti perjudian di Kedah, termasuk melalui bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Sanusi sebelum ini turut menyifatkan urusan lesen perjudian sebagai berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, dengan menyatakan “bola” kini berada di tangan kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, MOF menegaskan Kerajaan Madani terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dalam mengawal aktiviti perjudian berlesen.

“Kerajaan Madani terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved